Malaysia Dateline

Ketelusan Malaysia tarik kembali pelabur global

Shan Sheed

Majoriti pelabur dijangka akan kembali ke Malaysia selepas tertarik dengan usaha kerajaan dalam menghapuskan rasuah selain peningkatan tahap ketelusan, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi IQI Global, Shan Saeed berkata keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara sedang bertambah, selepas mula melihat kejayaan dalam inisiatif menambah baik tahap ketelusan kerajaan.

Ini dicerminkan melalui aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama yang merekodkan realiasi FDI tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak RM21.7 bilion atau peningkatan 94.8 peratus.

Beliau ketika bercakap kepada Bernama baru-baru ini menjelaskan keputusan Malaysia untuk meneruskan sebahagian daripada projek-projek mega termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur akan melonjakkan lagi keyakinan pelabur asing.

“Di samping itu, Malaysia juga mempunyai asas fiskal serta lembaran imbangan yang kukuh,” katanya.

Mengambil kira krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan China dan ketidaktentuan global, beliau meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar akan berkembang antara 4.5 peratus hingga 4.3 pada suku kedua.

“Dengan krisis AS-China yang masih berterusan, termasuk beberapa ketidaktentuan yang lain, pelabur sedang memakai pendekatan tunggu dan lihat,” katanya.

Mengenai ringgit, beliau menjangkakan nilai mata wang itu akan menokok pada suku kedua berikutan pengukuhan harga minyak yang dijangka kekal sekitar US$65.50 setong, ditambah dengan harga komoditi yang semakin stabil, khususnya minyak sawit.