Malaysia Dateline

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Ketengahkan pelancongan safari di Sabah, kata Mohd Shafie

Pelancongan safari seumpama taman safari di Serengeti, Afrika, antara produk pelancongan yang boleh diketengahkan di Sabah, untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata Sabah perlu mempelbagaikan produk pelancongannya dengan mencari sumber lain bagi meningkatkan hasil negeri dan tidak hanya bergantung harap kepada hasil balak.

“(Caranya) hidupkan keadaan sekeliling, saya minta macam di Serengeti, Afrika, dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah  Datuk Christina Liew sudah maklum dengan dia supaya jaga dan pelihara (hidupan liar seperti gajah) sebagai tarikan pelancong,” katanya, dan menambah, kawanan gajah banyak terdapat di Kalabakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Karnival Mesra Muslim Antarabangsa (IMFC) 2019 di sini,pada Selasa.

Mohd Shafie berkata hidupan liar boleh menjadi produk yang menjana pendapatan dalam sektor pelancongan.

“Jaga habitat binatang liar, pelihara dengan baik, saya yakin ini menjadi produk yang boleh menambah hasil negara dalam sektor pelancongan. Kalau kita tidak banyakkan produk pelancongan, orang akan datang misalnya pulau (Semporna), cuma sekali, dua kali atau tiga kali sahaja, kerana tempat sama dan tiada kelainan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata bagi merealisasikan perkara itu, Sabah memerlukan bantuan dari segi kepakaran untuk memastikan pengurusan pentadbiran hidupan liar yang ada di negeri ini dapat ditingkatkan.

“Selain mendidik penduduk tidak boleh membunuh gajah, tidak bererti gajah masuk kampung, boleh dibunuh, sebaliknya hubungilah jabatan hidupan liar,” katanya, dan menambah, Sabah komited menarik pelancong seramai mungkin dari pelbagai negara termasuk Turki, Jerman, Jepun dan Korea.

Mengenai keselamatan pelancong, beliau berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) diketuai Datuk Hazani Ghazali berperanan menjelaskan kedudukan keselamatan Sabah kepada kedutaan luar misalnya Korea dan Jepun yang membangkitkan isu keselamatan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mahu pembangunan pesat sektor pelancongan Sabah diteruskan dengan kerjasama semua pihak termasuk pemain industri.

“Awal tahun ini Sabah mencipta rekod baharu dalam jumlah perbelanjaan pelancong ke negeri ini dengan catatan melebihi RM8 bilion dan bilangan pelancong 3.8 juta,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau.

Mengenai IMFC, katanya kementerian itu mengenal pasti beberapa kawasan pantai timur Sabah sebagai lokasi berpotensi tinggi untuk dipromosikan secara lebih agresif sebagai destinasi pelancongan halal terkemuka di rantau Asia Pasifik– BERNAMA