Malaysia Dateline

Ketepi award persetujuan 1MDB-IPIC: Pakatan Harapan serius banteras korupsi

Tahniah Peguam Negara, Tommy Thomas dan Kerajaan Malaysia atas kejayaan semalam mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan di London untuk 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengetepikan Award Persetujuan antara International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS dan 1MDB serta Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang telah direkodkan oleh Tribunal Timbangtara Antarabangsa London pada 9 Mei 2017 atas dasar Award Persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan (fraud) dan bertentangan dengan polisi umum. Kejayaan ini menunjukkan keseriusan Kerajaan Pakatan Harapan membanteras korupsi.

Keputusan ini membolehkan Kerajaan Malaysia mendapatkan semula kehilangan wang antara lain yang dibayar secara fraud oleh 1MDB kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd sebanyak AS$3.5 bilion bersamaan RM15.5 bilion yang mana wang ini kemudiannya didakwa diseleweng oleh Jho Low termasuk mendepositkan AS$681 juta bersamaan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Najib Razak.

IPIC pula mendakwa syarikat tersebut adalah palsu dan satu saman timbangtara telah difailkan di London yang akhirnya diselesaikan melalui Award Persetujuan. Award Persetujuan ini kini dibenarkan untuk dicabar dan rakyat Malaysia akan dapat mengetahui fakta sebenar skandal ini apabila kes dibicarakan.

Secara undang-undang, apabila kebenaran diberikan untuk mengetepikan sesuatu Award Persetujuan, prima facie kes fraud telah dibuktikan.

Permohonan yang difailkan oleh Peguam Negara tersebut adalah konsisten secara prinsipnya dengan saman yang telah difailkan oleh Gerakan Anak Muda Tolak MO1 (GANT1) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Julai 2017 yang lalu yang mendakwa bahawa award persetujuan tersebut dilakukan secara fraud.

Ekoran keyakinan GANT1 kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung skandal ini, maka saman tersebut telah ditarik balik pada 22 Ogos 2018 kerana proses undang-undang yang lebih teratur dan konkrit seharusnya difailkan oleh kerajaan Malaysia sebagai pihak kepada Award Persetujuan tersebut.

Di bawah Award Persetujuan ini, Malaysia bertanggungan untuk membayar sejumlah AS$5.78 billion bersamaan RM24.16 bilion kepada IPIC dan Pemegang Amanah Bon dalam tempoh 5 tahun. Setakat tahun 2018, lebih AS$1.46 bilion bersamaan RM6.1 bilion telah dibayar secara berkala menggunakan wang rakyat.

Pembayaran akhir pula secara lump sum setiap satunya berjumlah AS$1.8 billion bersamaan RM7.52 bilion yang merupakan jumlah pokok dan faedah, perlu dilunaskan Kerajaan Malaysia pada Mei dan Oktober 2022.

Justeru, kleptokrat Najib Razak selaku bekas Pengerusi 1MDB yang berkuasa penuh ke atas pentadbiran 1MDB seharusnya bertanggungjawab penuh ke atas kehilangan wang rakyat ini.
Persoalan kepada rakyat Malaysia, adakah wang sebanyak ini yang tidak dibelanjakan untuk manfaat rakyat Malaysia satu perbuatan serius yang boleh dimaafkan dan dilupakan?

*Penulis merupakan Penyelaras Sekretariat Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.