Bagi menyelesaikan isu rakyat menteri tidak mengira parti mana seharusnya berganding bahu untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
Disebabkan itu, seharusnya ia tidak menjadi masalah untuk negeri dengan fahaman politik berbeza untuk beri kerjasama dengan Kerajaan Perseketuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kelantan semakin baik apabila kedua pihak bersetuju untuk ketepikan perbezaan politik demi rakyat.
Hal tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan di Facebook selepas pertemuan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.
“Aspek penyelarasan dan kordinasi adalah taakul utama yang perlu diambilkira dalam menyelesaikan isu rakyat yang mendesak termasuk di Kelantan.
“Perkara itu saya bangkitkan sewaktu menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan, yang buat kali pertamanya saya pengerusikan dalam membincangkan penyelesaian isu-isu pembangunan di negeri Kelantan.
“Sementelahan, isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infra dan kemudahan asas adalah tekad komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk diselesaikan, sebolehnya dengan kadar segera agar tidak terus membelenggu pihak terkesan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah beliau kerajaan negeri dan kementerian berkait akan meberi lebih fokus untuk menoktahkan miskin tegar di negeri Kelantan.
“Semasa taklimat juga, saya telah menekankan kepada kerajaan negeri dan kementerian terkait untuk memberi fokus dalam usaha menoktahkan miskin tegar di negeri Kelantan yang dijangka boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan.
“Walhasil, saya berharap semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Kelantan ini secara berkesan.
“Insya-Allah, projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Kelantan di kawasan luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” tambahnya.
Kerajaan MADANI akan bantu sehabis baik
Pada masa sama, Awwar menegaskan bahawa beliau dan menteri besar Kelantan senada dalam hal berkait rakyat.
“Saya sempat titipkan pesanan, yang senada dengan Menteri Besar agar pergeseran politik yang berterusan tidak akan menguntungkan rakyat termasuk di Kelantan amnya yang perlu mendapat manfaat dari program yang telah dirancang, baik secara jangka pendek mahupun jangka panjang.
“Saya jelaskan, tidak benar sama sekali Kerajaan MADANI mengabaikan negeri ini kerana tahun lalu, telah diberikan jumlah peruntukan yang banyak untuk projek tebatan banjir, bekalan air dan perhatian dalam pendidikan Islam di Kelantan termasuk pembinaan maahad tahfiz yang baharu.
“Sebelum pulang ke ibu kota, saya ulangi pesanan, bahawa Kerajaan MADANI akan lakukan sebaiknya supaya Kelantan dapat membangun bersama-sama negeri lain,” ujarnya.
Baca juga: “Ramai pimpinan Pas hantar anak ke sekolah Cina” – Fahmi nasihat PN berhenti main isu kaum, agama