Malaysia Dateline

Ketepi perbezaan, satukan persamaan di Kelantan, kata Pemuda AMANAH

Semua pihak diseru ketepikan perbezaan dan duduk bersama dengan suatu tujuan untuk membina Kelantan yang lebih baik untuk rakyat pada PRU 15 akan datang, kata Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan (gambar atas) malam tadi.

Dahlan Maamor bersama Jeming malam tadi. Klik untuk menonton.

Bercakap dalam sessi bual bicara ‘Apa Kata Dahlan’ yang dihoskan oleh Datuk Dahlan Maamor malam tadi, Hazmi yang lebih dikenali dengan nama Jeming itu berkata kerajaan Pas perlu ditukar selepas terbukti gagal mentadbir dan hanya pandai bermain politik dengan rakyat.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai keperluan untuk suatu gabungan baharu dalam usaha untuk membentuk kerajaan baharu yang lebih baik pada pilihan raya yang akan datang.

“Pas sudah terlalu lama berkuasa di Kelantan hingga kini mula bersikap angkuh dan sombong terhadap rakyat,” kata beliau yang lebih dikenali dengan nama Jeming yang tidak bersetuju pandangan Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Pas adalah pelacur politik.

“Bagi saya Pas ni kadang-kadang lebih dari pelacur kerana pelacur hanya jual maruah tetapi Pas ini bukan jual maruah sahaja tetapi kesetiaan pun tidak ada,” kata beliau.

Sebelum ini Ustaz Muhammad Husain Pengerusi AMANAH Kelantan berkata bahawa AMANAH di Kelantan sedia untuk bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai matlamat sama.

Beliau juga berkata bahawa AMANAH tiada masalah untuk bekerjasama hatta dengan Umno sekalipun asalkan mereka sedia bersama PH dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk menumbangkan Pas di Kelantan pada PRU 15 akan datang.

Antaranya adalah anti rasuah dan good governance dalam melaksanakan tugas sebagai pemerintah.

Ekoran itu, beliau yang juga Pengerusi PH Kelantan akan membawa cadangan ini ke dalam mesyuarat bulanannya tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed juga turut menyokong idea untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan mempunyai cita-cita yang sama dan memenuhi aspirasi PH dalam usaha mengambil alih kerajaan negeri itu.

Semua pihak diseru untuk tetapkan matlamat dan persamaan serta ketepikan segala perbezaan demi kebaikan rakyat dan negeri Kelantan dari terus dikuasai oleh pihak yang jelas gagal menjalankan urustadbir berkesan selama lebih 30 tahun ini.