Banyak pasangan yang berkahwin bertahun-tahun tapi belum dikurniakan, ada yang hingga bercerai demi mendapatkan zuriat sendiri.
Mungkin masih belum rezeki tapi dengan zaman moden, sudah ada banyak cara sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat.
Samalah seperti penyanyi Hazama dan isterinya, Genervie Kam yang reda apabila perkahwinan mereka yang sudah memasuki tujuh tahun belum diserikan dengan anak.
Menurut Harian Metro, Hazama mengenepikan seketika hasrat untuk mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha untuk mendapatkan anak
Dia memilih untuk menggunakan wang yang ada bagi perbelanjaan buat menghasilkan album kedua berjudul Pujangga.
“Anak tiada rezeki lagi. Duit yang sepatutnya mungkin saya boleh cuba buat IVF untuk isteri, saya letakkan ke arah tanggungjawab dalam bidang kerja saya. Harapan saya sangat tinggi terhadap album ini.
“Jadi, saya ambil rezeki ke arah itu (ada anak) ke sini. Saya fikirkan ini tanggungjawab yang saya belum selesai lagi. Dalam industri muzik ini banyak benda yang tak selesai, jadi saya kena selesaikan satu persatu.
“Saya pun nak buktikan yang saya sebenarnya layak berada dalam industri muzik. Jadi, saya fikir saya nak selesaikan ini dulu. Sebagai penyanyi saya nak ada satu kenyataan mengenai saya.
“Iyalah, kalau orang kata saya ada anak, dia akan bawa nama saya. Tapi kalau kita tinggalkan karya, ia mungkin boleh pergi selamanya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Hazama bersyukur ada isteri yang memahami dan menerimanya.
“Orang cakap fasa pertama suami isteri akan diduga dalam tempoh ini. Alhamdulillah dalam tempoh ini kami semakin mengenali antara satu sama lain dan makin bahagia.
“Saya bersyukur dapat isteri yang memahami, yang ‘guide’ dan banyak bantu serta banyak mengubah benda-benda yang tak bagus pada saya.
“Ada prosesnya dan dia banyak sabar dengan saya. Jadi kami sesuailah untuk bersama. Kita makin kenal dan perkahwinan makin matang, makin okey,” tambahnya.
Tiada niat nak ambil anak angkat
Pada masa sama, Hazama memaklumkan sebolehnya dia mahukan anak daripada dia dan isteri dan bukannya anak angkat.
“Saya juga masih berpegang pada prinsip tak nak ambil angkat kerana untuk apa? Saya nak anak daripada zuriat sendiri.
“Contohnya kalau bukan anak saya, bukan dari baka saya, saya boleh menyanyi dan isteri main muzik.
“Kita ada harapan kalau boleh anak saya masuk dalam bidang seni bukan kerja dalam bidang lain. Kalau dari baka kita, sekurang-kurangnya anak akan ikut juga bakat.
“Saya tak nak ambil anak angkat kerana saya ada anak saudara empat orang. Jadi merekalah, kalau apa-apa misalnya saya meninggal dunia, saya dah siapkan benda ini untuk mereka,” katanya.
Baca juga: Ammar Alfian nafi belasah kekasih, sedar muka jahat – “Aku nak menangis dalam masjid lepas ini”