Malaysia Dateline

Ketepikan ideologi, tingkatkan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah, kata Pengerusi LPP

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang sama ada di pilih oleh perwakilan atau dilantik oleh menteri diseru mengenepikan ideologi, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman.

Beliau berkata, idea serta pandangan perlu dikemukakan dalam konteks pembangunan pertanian secara lebih serius dengan melihat potensi-potensi yang ada.

Katanya lagi, kesemua 26 Pertubuhan Peladang di Sabah perlu melihat potensi, kembangkan dan sediakan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah bagi memastikan masyarakat peladang menikmati kehidupan yang lebih baik dan berupaya menarik golongan muda dalam industri ini.

“Jika kita tidak berfikir jauh ke hadapan, maka kita akan terus berada di takuk lama dan kita akan ketinggalan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Pengerusi LPP bersama Pemimpin Pelada Beauford dan Papar di Borneo Golf Resor, Bongawan pada Ahad dalam satu kenyataan yang dipetik.

Beliau turut menyarankan Pertubuhan Peladang di Sabah supaya mempelbagaikan jenis tanaman dan melihat penggunaan teknologi yang boleh  menarik orang muda dalam pertanian.

“Tanaman secara fertigasi dan aquaponik yang masih belum banyak diaplikasikan di Beaufort dan Papar.

“Ini kerana pada tahun 2020 ini saya akan memberi fokus kepada pemasaran produk-produk usahawan agar boleh pergi lebih jauh dan boleh capai keperluan eksport,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim, Ahli Lembaga LPP, Haris Alimuddin, Setiusaha Sulit Kanan Kepada YB Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Sulaiman Kaiat, Pengarah LPP Negeri Sabah, Anita Misuari, Pengurus Besar PPN Sabah,Catherina Edward, Pengarah Kejuruteraan LPP, Mat Zaini Mohd Yusof, barisan AJP, Ketua Unit dan Pengurusan dari PPK Beaufort dan PPK Papar.