Malaysia Dateline

Ketepikan perbezaan, manifestasikan solidariti Baitulmaqdis, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat pelbagai kaum, partipolitik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya mengetepikan perbezaan dan memanifestasikan solidariti mempertahankan Baitulmaqdis dalam perhimpunan besar-besaran di Masjid Putra, di sini Jumaat ini.

Beliau berkata perhimpunan tersebut dilihat sebagai pentas rakyat Malaysia untuk mempromosikan keamanan dan memperjuangkan Baitulmaqdis.

Kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel tetapi kita menghormati hubungan dengan Amerika Syarikat. Namun apabila hak kota suci umat Islam diceroboh dengan hasrat untuk melenyapkan sirah kota suci Islam, Kristian dan agama Yahudi Orthodox asal ertinya rejim Israel cuba memadamkan sejarah.

Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, pemimpin politik dan NGO mengetepikan perbezaan dan bersolidariti pada Jumaat ini, katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Ahmad Zahid berkata kira-kira 10,000 orang dijangka hadir pada perhimpunan bagi membantah tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur perhimpunan tersebut berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan hadir dan berucap pada perhimpunan itu.

Selain itu, beliau berkata pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut menyatakan persetujuan untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

Sehingga semalam, seramai 10,000 dijangka menghadiri perhimpunan berkenaan. Saya berharap jumlah ini akan terus bertambah

untuk memberi dukungan dan sokongan kepada rakyat Palestin, katanya.

Ahmad Zahid berkata program akan bermula pada 12 tengah hari dengan forum yang akan disertai enam panel jemputan daripada pelbagai parti politik, diikuti khutbah Jumaat yang akan disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan disusuli solat Jumaat serta solat hajat untuk Baitulmuqaddis.

Saya harap ini tidak dijadikan forum untuk menyuarakan perbezaan mereka, sebaliknya untuk menunjukkan manifestasi solidariti dan mengetepikan perbezaan politik, katanya.