Keterbukaan kerajaan PH satu kelebihan kepada ekonomi, kata Munir Majid

Keterbukaan kerajaan PH satu kelebihan kepada ekonomi, kata Munir Majid
Tan Sri Munir Majid

Dasar pendekatan terbuka yang diamal kerajaan Pakatan Harapan adalah satu kelebihan kepada ekonomi, kata Pengerusi Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid.

Beliau berkata, jika kerajaan dapat menghitung kesan dasar ketelusannya, ia akan memberikan sesuatu yang positif kepada ekonomi negara.

“Kerajaan kita kini bercakap mengenai tender terbuka dan mengurangkan rasuah secara dramatik, tetapi tidak ada angka yang keluar daripada ini, kerana ini (dasar pendekatan terbuka) akan mewujudkan impak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat mengenai platform Penyelesaian ASEAN Untuk Pelaburan, Perkhidmatan dan Perdagangan (ASSIST) semalam.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming semalam bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.

Semua orang di Malaysia, kata Munir, harus objektif mengenai ekonomi dan menangani perkara-perkara tertentu sebagai cabaran.

“Kadang-kadang, kita lupa mengenai ekonomi sebenar. Untuk ekonomi sebenar berlaku, ia mengambil masa untuk memberi impak dan hakikatnya, pelaburan ekonomi asing masih kukuh, tetapi bagaimana kita menjadikannya lebih kukuh,” katanya.

Ketika ASEAN menghadapi cabaran domestik dan luaran yang semakin meningkat, beliau menyeru usaha-usaha integrasi ekonomi untuk dipercepatkan untuk mengimbangi impak daripada dasar perlindungan perdagangan AS dan perang tarif antara Washington dan Beijing.

“Kita perlu mengintegrasikan lebih banyak lagi melalui Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang kini menjadi lebih penting kepada kita,” tambahnya.- BERNAMA