Keterbukaan kerajaan sedia dikritik tidak disalahguna pembangkang

Keterbukaan kerajaan sedia dikritik tidak disalahguna pembangkang
Mohd Azam Mektar

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Mohd Azam Mektar hari ini menyuarakan pandangan berkenaan keterbukaan yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada parti dan penyokong pembangkang.

Menurut beliau pembangkang hari ini seolah-olah dilihat kabur dengan keadaan yang selama ini terjadi di antara dua pemerintahan (PH dan BN).

Beliau berkata sebelum kerajaan BN dilihat menyekat segala tindak tanduk yang cuba dibuat oleh parti pembangkang namun pada hari ini perkara itu telah menjadi longgar dan tidak wujud sebarang sekatan sekiranya penyokong mereka  ingin bersuara mengkritik kerajaan.

“Bila PH ada keterbukaan, mereka mula berani menampilkan diri dan mereka sedang menikmati kebebasannya. Ada yang berkerja sebagai guru, kakitangan awam dan sebagainya namun tidak ada tindakan yang diambil ke atas mereka.

“Ini suatu gambaran bahawa keterbukaan itu telah terlaksana dan kalau dilihat sebelum ini di zaman pemerintahan BN, golongan yang dimaksudkan tersebut tidak berani pun bersuara kerana mereka takut akan dikenakan tindakan dan menyusahkan mereka untuk cari makan.

“Saya pun pelik mereka yang takut sebelum ini dalam Pas hari ini bersengkongkol dengan pihak yang menzalimi diri mereka sebelum ini yang mana BN yang menyekat mereka daripada terus berjuang dan sebagainya,” tegasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa terdapat pembangkang yang kuat di negara ini adalah suatu perkara yang baik untuk mengimbangi kerajaan yang memerintah.

Namun apa yang dinyatakan beliau, penyebaran fitnah serta pembawaan berita menghasut perlulah dihentikan agar tidak memberi kekeliruan kepada rakyat di negara ini.

“Perkembangan penyatuan ummah ini positif dan negara juga memerlukan pembangkang yang kuat namun bukanlah dengan tidak ada tanggungjawab terhadap keharmonian negara.

“Kemajmukkan yang ada di negara ini perlu diraikan bukanlah dipisahkan sehingga berlakunya ketegangan di antara satu sama lain.

“Saya akui mereka perlu memperjuangkan bangsa mereka tapi bukanlah dengan menimbulkan provokasi serta rasa kurang senang di negara ini.

“Pembangkang juga harus memainkan peranan sebagai agen pembangunan di negara ini dan selain pembangunan, pembangkang juga harus menjadi agen perpaduan bukan perpecahan,” tegasnya lagi.