Malaysia Dateline

Ketetapan PAU vs kuasa PM

Reaksi para pemimpin Umno terhadap keputusan perhimpunan agung tahunannya hujung minggu lalu semakin menampakkan perpecahan yang teruk dalam parti itu.

Semangat berkobar-kobar dan kebencian yang membakar terhadap Bersatu dan Pas tidak cukup kuat untuk memulihkan perpaduan parti Melayu itu. Sebaliknya perpecahan menjadi semakin nyata.

Keputusan memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan keluar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disambut dingin oleh Kluster Menteri dan GLC dengan Presiden de faktornya, Tajuddin Abdul Rahman berkata dia tidak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Prasarana.

Atau memang dasar Umno makan keliling atas dan bawah. Kekal dalam kerajaan sampai Parlimen dibubarkan kerana gaji lumayan dan boleh tahu rahsia serta rancangan kerajaan?

Kluster Mahkamah yang diketuai oleh bekas Presiden dan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak semakin diketepikan kerana membebankan parti.

Kluster Hentam Sajalah Labu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Padang Rengas merangkap bekas ahli MKT, Mohd Nazri Abdul Aziz menyifatkan menteri Umno yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan tidak setia kepada parti serta suara akar umbi.

Sementara itu President Kluster Akar Umbi, Mohamad Hasan terpaksa main tarik tali kerana takut dicantas dan ditebas.

Jangan risau tentang Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin aka Abah. Dia selamat selagi ada darurat dan sidang Parlimen disekat. Buat masa ini, setelah terlepas kapal ketika pengundian Belanjawan 2021, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hanya boleh berangan-angan.

Jangan perkecilkan kuasa dan naluri untuk selamat (survival instinct) Muhyiddin. Sama ada dia naik jadi Perdana Menteri secara haram atau halal, wajib atau sunat, dia mempunyai kuasa eksekutif yang sangat besar apatah lagi dengan adanya darurat.

Dia boleh buat apa yang Ketua Pembangkang hanya boleh berjanji. Cuma satu yang dia berjanji tidak akan buat, iaitu masuk campur dalam urusan Kehakiman. Tapi kita kena akui dan iktiraf bahawa dia ada pengaruh ke atas Peguam Negara dan Peguam Negara berhak ke atas pendakwaan. Tengoklah kes Musa Aman dan Riza Aziz!

Adalah untuk kebaikan Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin, partinya Bersatu dan kerajaannya PN memastikan Umno terus berpecah-belah dan Pas khayal dengan kemewahan.

Ini politik Tuan-tuan dan Puan-puan. Ini bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Atas nama kebajikan dan rakyat jelata pun banyak yang tipu dan auta!

Demikianlah adanya. Terima kasih.