Ketiadaan akses ke gudang simpanan makanan Red Sea Mills di Yaman “satu tragedi” – PBB

Ketiadaan akses ke gudang simpanan makanan Red Sea Mills di Yaman “satu tragedi” – PBB

Ketiadaan akses ke gudang simpanan makanan Red Sea Mills yang terletak di pelabuhan utama Hudaidah oleh pekerja kemanusiaan adalah “satu tragedi,” lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pada Selasa.

“WFP (Program Makanan Dunia) masih belum mendapat akses ke Red Sea Mills, yang sebenarnya adalah satu tragedi,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat rutin.

“Secara asasnya ia membabitkan satu perempat daripada stok gandum mingguan WFP yang boleh memberi makan sejumlah 3.7 juta orang,” kata beliau.

“Hakikatnya kita masih tidak dapat mengaksesnya. Hakikatnya ia berisiko dicemari… sama ada oleh binatang perosak, reput atau sebagainya. Tarikh akhir penggunaan ialah 2020, tetapi apa yang jelas dalam rangka kerja disebut ia perlu dipantau serta diawasi, dan itu bukan kesnya di sini. Jadi ia adalah satu risiko yang tinggi.”

Pada Khamis, wakil kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Ansar Allah, nama rasmi pejuang pemberontak Houthi, telah mencapai satu persetujuan tentatif berkaitan pengunduran tentera bersama dari bandar serta pelabuhan Hudaidah selain pembukaan saluran kemanusiaan.

Para perunding kemudian membawa balik “kompromi awal” itu kepada pemimpin masing-masing.

Dujarric berkata PBB kini menunggu maklum balas kedua-dua pihak.

Leftenan Jeneral Michael Lollesgaard dari Denmark, yang mempengerusikan rundingan itu di atas sebuah kapal di pelabuhan Hudaidah, berkata beliau menjangka untuk mengadakan semula rundingan dalam minggu ini.

PBB dan rakan kongsi kemanusiaannya sedang berusaha mendekati sejumlah 12 juta orang di Yaman dengan bantuan makanan kecemasan, kata Dujarric.

— BERNAMA