Malaysia Dateline

Ketiadaan mesin ATM belenggu penduduk luar bandar Sarawak

Selepas isu air, elektrik dan jalan raya, masalah ketiadaan operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan luar bandar Sarawak turut membelenggu rakyat di negeri ini.

Kebanyakan rakyat yang mahu mengeluarkan wang yang diterima daripada Bantuan Sara Hidup (BSH)terpaksa menghadapi kesukaran ekoran tiada khidmat ATM yang berdekatan.

Tambah memeritkan, terdapat sebahagian penerima BSH mengeluh apabila bayaran tidak dikreditkan terus ke akaun bank.

Bagi mengeluarkan wang berkenaan, penerima perlu menggunakan nombor baucar yang diberikan dalam semakan atas talian dan kad pengenalan yang hanya dapat ditunaikan di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN).

Hal ini sangat menyusahkan para penerima terutamanya yang tinggal di luar bandar seperti di Pulau Bruit, Daro.

Penerima terpaksa ke BSN terdekat seperti di Daro atau Sibu dengan menaiki feri dan bagi yang tidak memiliki kenderaan terpaksa membayar sehingga RM40 sehala menggunakan kereta sewa.

Menyukarkan lagi keadaan sekiranya penerima berkenaan mempunyai penyakit yang susah untuk bergerak seperti lumpuh, orang tua atau buta.

Memandangkan hanya BSN tempat yang boleh penerima menunaikan baucar tersebut, maka timbul keadaan kesesakan yang luar biasa dengan orang ramai berpusu-pusu serentak.

Dalam keadaan berjaga-jaga dengan penyebaran COVID-19, maka keadaan ini sememangnya tidak akan mampu dibendung akibat bilangan penerima yang sangat ramai.

Adalah sangat malang kepada pihak penerima yang terpaksa berbaris berjam-jam dan begitu juga pekerja bank yang berdepan pelanggan dengan pelbagai ragam disebabkan keletihan menunggu.

Sehubungan itu, seluruh rakyat di negeri ini menggesa supaya Kerajaan Negeri Sarawak menyediakan perkhidmatan operasi ATM di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memudahkan urusan mereka.