Malaysia Dateline

Ketidakhadiran saya sudah dimaklumkan, kata Baru Bian

Menteri Kerja Raya Baru Bian hari ini menjelaskan ketidakhadiran beliau pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-13 di Shah Alam, sudah dimaklumkan kepada pihak sekretariat parti.

Baru berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Politiknya Zakaria Abdul Hamid untuk berbuat demikian.

“Saya tidak dapat menghadiri kongres kerana mempunyai lawatan rasmi ke Ipoh, Perak dan di Kuantan hari ini.

“Tidak timbul isu saya memboikot kongres,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018 (AKLPT18) di sini, hari ini.

Baru berkata di Ipoh, beliau menghadiri majlis penutup Sukan Kementerian Kerja Raya dan hari ini, selain AKLPT18, beliau juga mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini,  yang memberi amaran keras kepada menteri daripada parti itu kerana gagal menghadiri kongres berkenaan.

Mengulas lanjut, Baru berkata beliau juga tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti dan ramai perwakilan Sarawak yang hadir pada kongres itu.

“Saya hanya bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak dan tidak bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana ingin memberi ruang kepada orang lain.

“Sekiranya dilantik atau dipilih, saya akan menjadi semula (Pengerusi MPN PKR Sarawak)…kalau tidak saya hanya ‘orang kecil’ dalam parti.

“Sebagai menteri pusat, itu lain dengan jawatan dalam politik, ia tanggungjawab saya sebagai menteri yang harus saya jalankan,” katanya.

— BERNAMA