Malaysia Dateline

Ketidakupayaan kerajaan tangani krisis, bencana terus berulang menjelang 2022

Sebenarnya ketidakupayaan dan ketidakcekapan kerajaan untuk menangani krisis dan bencana terus berulang sungguhpun pelbagai pengalaman pahit dan korban jiwa terus meningkat disamping kesan ekonomi yang teruk akibat setiap krisis yang berlaku.

Malah tahun 2021 meninggalkan seribu satu catatan perjalanan yang menyedihkan dan penuh dengan pancaroba ekoran kesan wabak Covid-19 yang melanda negara awal 2020 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ditambah pula dengan penguatkuasaan Akta Darurat mulai Januari 2021 oleh kerajaan.

Menurut Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato Abdul Halim Hussain, ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan sedangkan bilangan kes dan kematian akibat Covid-19 terus meningkat.

“Kelewatan menerima dos dan ketidaksiap siagaan kemudahan perubatan di hospital turut mempengaruhi kes terus menular.

” Selain itu kerajaan juga turut mempamirkan kelemahan mereka apabila hujan lebat yang turun pada 18 Disember mengakibatkan banjir besar di Selangor dan Pahang, manakala agensi kerajaan dan pimpinan tidak siap siaga untuk bertindak segera bagi menyelamatkan mangsa sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

“Ternyata kebangkitan rakyat dan sukarelawan yang segera bangun membantu mangsa telah berjaya meringankan beban dan penderitaan mangsa banjir yang terlibat sungguhpun puluhan nyawa telah terkorban dan kerosakan harta benda yang telah berlaku,” ujar beliau.