Ketika pemimpin politik bertelagah, rakyat dan petugas kesihatan negara sedang bertarung nyawa di kebanyakan hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19 terutama di Lembah Klang.
Gambar dan video tentang suasana ngeri dan sedih yang berlaku di hospital kerajaan itu kini tersebar di media sosial.
Mayat-mayat yang kekal di atas katil tanpa diuruskan kerana bilik mayat sudah penuh, pesakit yang terbaring di atas kerusi tempat menunggu dan katil hospital yang penuh di luar bangunan hospital disebarkan melalui gambar dan video.
Ia dialami oleh Pusat Kurantin dan Rawatan di MAEPS dan juga Hospital Klang. Orang ramai juga memenuhi Pusat Penilaian Covid-19 di Stadium Melawati.
“Assalamualaikum & selamat pagi. Mohon doakan kami semua Frontliner Hospital Klang, sebab Hospital Klang disaster sekarang,” kata satu mesej yang ditular dalam media sosial.
“Tengah tenat yang amat sangat, Klinik Pakar ACC akan ditutup bermula hari ini jam 1pm serta merta. Hospital Klang akan jadi Center Covid Hospital sama macam Hospital Sungai Buloh & semua Hospital daerah Klang, semua staff akan ditarik x tau ke mana.
“Kami tengah bertarung dekat Hospital sekarang, doakan kami semua.
#Jangan datang HTAR jika tiada urusan penting#” kata mesej itu.