Ketika angin Siberia datang

Oleh BORHAN AHMAD

(Hari ini tanahair kita berhadapan bencana alam banjir di beberapa kawasan. Banyak yang terkesan hingga melibatkan kehilangan jiwa. Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu mangsa-mangsa melalui pelbagai bantuan dan sokongan. Semoga Allah SWT memberi sebaik-baik ganjaran. Bencana alam berlaku di mana-mana.)

Sewaktu belajar Geografi di sekolah dulu, susah hendak memahami bagaimana glasier boleh berlaku dan menghafal istilah-istilah bentuk mukabumi kawasan artik dan sejuk sederhana. Memang sukar hendak membayangkannya kerana sejak lahir terus berada dalam kawasan beriklim khatulistiwa; panas dan lembab sepanjang tahun.

Yang ada hanya musim panas dan musim hujan. Apabila aku buka pintu peti ais rumah, ohhh….. agaknya macam ini ke salji?

Tentulah nyaman sekali menikmati kedinginan hawa peti ais fikirku kedangkalan. Di tengah-tengah terik matahari yang membahang, kami yang balik dari sekolah selalunya akan singgah ke gerai Pak Lope yang jual ‘ais kepal’ bercampur sirap manis. Terasa hilang haus apabila menghirup kepalan ais.

Apabila Sanusi Junid menjadi Menteri Pertanian suatu ketika dulu, projek `gila-gila’nya seperti Taman Pertanian Bukit Cherakah memang menarik perhatian. Ramai yang pergi ke situ kerana tertarik untuk melihat suasana salji di taman empat musim. Tidak perlu ke Eropah untuk merasai salji. Memadai pergi ke Shah Alam dan membeli tiket masuk ke taman tersebut.

Romantik

Sewaktu aku menonton drama televisyen ‘Dr. Zhivago’ karya dari novel Boris Pasternak, pemandangan salji yang putih itu menarik sekali. Helaian salji turun terbang melayang lembut sebelum jatuh ke bumi seperti daun kering yang gugur ditiup angin. Lama-kelamaan, padang yang hijau berubah menjadi putih dan jalanraya diliputi salji .

Waktu itulah kereta kuda Viktor Komarovsky yang membawa Larissa merentasi jalan bersalut salji dan meninggalkan Dr. Zhivago sendiri, memang terasa tragedi sekali. Salji yang turun seperti juga hujan adalah fenomena alam yang boleh mempengaruhi seseorang bersifat pasif, romantik dan juga nostalgia. Ramai yang menghabiskan masa berkurung dalam rumah. Dalam keadaan begini, kadangkala fikiran boleh buntu bagi yang sudah biasa keluar rumah, aktif dan berkerjaya.

Pemandangan di sekeliling rumah penulis di Swansea pada musim sejuk.

Ketika UK berhadapan musim sejuk yang dianggap extreme pada tahun 2007, salji tidak seperti tahun-tahun sebelum itu. UK bagai sebuah peti ais yang besar. Beku dan sejuk. Di Scotland dan bahagian utara suhunya mencecah hingga -20 ºC. Menurut berita di sini, tahun tersebut adalah saat paling sukar dalam tempoh 30 tahun di UK. Banyak kedai, pejabat, sekolah, universiti dan jalanraya ditutup. Walau bagaimanapun keadaan mulai terkawal sedikit demi sedikit berbanding sebelum itu.

Ini mungkin kerana di peringkat awal berhadapan dengan keadaan tersebut, pihak berkuasa mengalami ‘kejutan’ dengan perubahan cuaca yang mendadak. Mereka tidak mempunyai persediaan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan di luar jangkaan.

Sesetengah penduduk tempatan yang kurang selesa dengan cuaca begini akan pergi bercuti di tempat yang lebih panas seperti Sepanyol. Bahkan di kalangan mereka ada yang memiliki rumah kedua di sana. Mereka akan kembali setelah cuaca kembali seperti sediakala. Bagi mereka sungguh menyeksakan bila berada dalam musim dingin seperti begini. Macam neraka kata mereka walaupun tidak percaya tentang agama. Barangkali inilah antara hikmahnya Allah ciptakan juga neraka sejuk selain neraka api yang panas membakar.

Terkandas

Umumnya, UK bukanlah negara yang mengalami salji yang tebal. Tidak seperti di Rusia terutama di Siberia. Fenomena cuaca luar biasa ini telah menyebabkan keadaan kelam kabut seketika di. lapangan terbang utama seperti Heathrow yang terpaksa ditutup. Beribu-ribu penumpang terkandas. Jalanraya dipenuhi salji. Bahkan laluan keretapi Eurostar yang menghubungkan London-Paris mengalami masalah teknikal yang menyebabkan penumpang terperangkap dalam terowong bawah laut selama 17 jam!

Sejenis ‘garam khas’ yang diperlukan untuk mencairkan salji di jalanraya juga hampir kehabisan bekalan Biasanya pihak berkuasa tempatan akan menabur garam di jalanraya jika dijangka salji akan turun. Di sesetengah tempat, disediakan tong garam dan penduduk di situ sendiri akan menabur garam di jalanraya yang berhampiran rumah mereka. Ini adalah untuk mengelakkan jalanraya licin dan boleh menyebabkan kenderaan terbabas.

Rumah penulis di Swansea ketika musim sejuk.

Biasanya jika salji mulai turun, elakkan memandu kenderaan. Pernah suatu ketika aku hampir terbabas kerana tayar kereta gagal mencengkam jalanraya dan kereta bergerak mengikut kecerunan jalan. Bukan lagi mengikut stering kereta. Memang mengerikan sekali.

Pada masa musim salji ini, kita melihat wanita barat banyak menutup aurat. Mereka mengenakan topi hinggalah ke kasut but yang tinggi. Pakai baju tebal, bermafla hingga menutup sebahagian muka dan bersarung tangan. Inilah waktu mereka berpakaian ‘sempurna’ bagi mengikut hukum alam. Membiarkan tubuh terdedah dengan suhu yang sejuk melampau boleh menyebabkan mulut dan bibir pecah, kulit kering, lebam dan bengkak-bengkak terutama di kaki dan pergelangan tangan.

Jika mahu tengok salji, sekaranglah waktunya. Di bahagian utara, sajli masih lagi tidak hilang walaupun sudah beberapa hari tidak turun salji. Salji ini akan membentuk ais yang licin dan sangat merbahaya kepada pejalan kaki dan kenderaan. Sesetengah tempat seperti Dublin dan Glasgow saljinya tebal hampir separuh kaki! Keadaan salji yang begini memang menarik. Inilah waktu untuk bermain salji. Tanpa mengira usia, salji menjadi daya tarikan untuk orang meninggalkan rutin harian. Sesekali fikir bermain salji seperti meredah lumpur hanyir di sawah.

Keadaan salji yang tebal dan berpanjangan telah menyebabkan kerugian berjuta-juta pound. Penutupan kedai, penangguhan penerbangan, peningkatan kadar kemalangan di jalanraya dan penggunaan tenaga yang meningkat adalah kesan daripada musim sejuk yang melampau. Jika keadaan ini berterusan, ia boleh menjejaskan ekonomi negara.

Green Flag

Sudah menjadi satu kemestian kepada pemilik kenderaan di sini untuk memiliki kemudahan perkhidmatan kerosakan dalam perjalanan. Antara syarikat insuran terkenal ialah AA, RAC dan Green Flag. Dengan bayaran sebanyak kira-kira £70 setahun, kita menerima kemudahan percuma untuk membaiki kenderaan yang rosak dalam perjalanan. Biasanya mereka memerlukan masa antara 30 minit hingga sejam untuk menghantar petugas.. Sebaliknya dalam keadaan yang kritikal begini, mereka menerima beribu-ribu panggilan kecemasan dalam satu hari. Ini menyebabkan kebanyakan syarikat tidak mampu untuk menyediakan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak ini kecuali kepada keadaan yang benar-benar kritikal.

Untungnya UK adalah sebuah negara maju. Setidak-tidaknya musibah alam seperti musim sejuk yang extreme ini masih boleh diurus kerana mempunyai kelengkapan dan persediaan yang baik oleh pihak berkuasa. Walaupun begitu, masih ada kritikan oleh masyarakat tentang beberapa kelemahan pihak berkuasa yang perlu diambil perhatian.

Paling menariknya, tiada parti politik membuat lawatan sambil membawa bekalan makanan berserta manifesto dan bendera parti!

Nota:

Artikel ini sebahagian daripada petikan buku penulis bertajuk ‘Meredah Benua’ yang dalam proses pembikinan.