Malaysia Dateline

Ketika banjir, negara umpama tiada kerajaan, dakwa Presiden AMANAH di konvensyennya

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menyifatkan negara umpama tidak mempunyai kerajaan ketika banjir melanda negara baru-baru ini.

Ketika memberikan Pidato Presiden sempena Konvensyen AMANAH 2021 hari ini, Mohamad mendakwa agensi utama dalam menghadapi kemelut sebegini, Nadma telah gagal sepenuhnya.

“Negara seolah-olah tidak mempunyai kerajaan. Nadma yang sepatutnya menjadi badan kordinasi dalam berhadapan dengan bencana ini tidak tahu fungsi mereka dan salah menyalah antara satu sama lain,” kata Mohamad.

Akibatnya, negara kehilangan hartabenda dan aset yang sangat besar terutama apabila ia berlaku di nadi ekonomi negara iaitu Lembah Klang.

Konvensyen hari ini diadakan berikutan penangguhan konvensyen yang sepatutnya berlangsung poada 19 Disember lepas akibat banjir besar di seluruh negara khasnya Selangor.

PEMUDA MULAKAN KEBANGKITAN

Dalam ucapannya itu juga, Mohamad Sabu turut mengucapkan tahniah kepada Pemuda AMANAH dan seluruh Pemuda yang turun ke medan semalam bagi menunjukan bantahan mereka.

“Tahniah kepada Pemuda AMANAH yang menunjukkan kebangkitan mereka semalam. Inilah yang kita perlukan,” kata Presiden AMANAH itu.

Semalam ribuan pemuda turun ke jalan raya di ibu negara bagi menuntut tangkapan dibuat ke atas Ketua Pesusuhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ekoran skandal salahguna kuasanya.

Bagi Mohamad, kebangkitan Pemuda ini berlaku ketika rakyat sangat tidak berpuashati dengan keadaan negara sekarang yang sedang ditunggang oleh Umno.

“Boleh dikatakan tidak ada di kalangan pemimpin Umno yang tidak terlibat dengan kleptokrasi tetapi sekarang berpura-pura melawan rasuah,” kata Mohamad.

REVOLUSI MENTAL

Mohamad dalam ucapannya menekankan tentang kepentingan keadilan sosial dan memerlukan revolusi mental bagi melaksanakannya.

Katanya, bekas Canselor Jerman, Angela Merkel adalah contoh pemimpin yang memperjuangkan keadilan sosial yang dikehendaki Islam.

Merkel, kata Mohamad, turun dari kedudukan tertinggi negara Jerman hanya kekal tinggal di flatnya yang sederhana.

“Apabila ditanya kenapa dia memakai baju yang sama, Merkel menjawab, saya bukan membuat pertunjukkan fesyen, saya adalah pemimpin rakyat biasa.

“Merkel adalah contoh pemimpin yang memperjuangkan keadilan sosial yang dikehendaki oleh Islam,” kata beliau.

Bagi Mohamad, keadilan sosial tidak dibela kerana tiadanya amanah di kalangan pemimpin.

Bahkan, ia berlaku di seluruh dunia Islam dan banyak negara-negara Eropah sekarang yang memperjuangkan kepentingan Islam termasuk umat Islam Palestin.