Malaysia Dateline

Ketika Dr Dzul memerangi Covid-19, ada pihak mahu bentuk kerajaan pintu belakang

Ketika beliau dan dunia berperang dengan virus yang mengancam penduduk dunia, Covid-19, ada sesetengah pihak cuba menghancurkan usaha itu melalui kerajaan pintu belakang.

Gerakan yang sedang dibuat ini bakal menghancurkan usaha berbulan-bulan kementerian yang dipimpinnya untuk mengekang virus yang telah membunuh lebih 2,700 orang di seluruh dunia.

Akibat tindakan jahat ini juga, dalam masa satu hari sahaja, Bursa Malaysia kerugian RM43.4 bilion pada 24 Februari 2020.

Yang ironinya, pihak yang terlibat secara langsung untuk menjatuhkan kerajaan yang ada adalah menteri yang sepatutnya  menjaga keselamatan dalam negeri yang bercita-cita tinggi dan menteri yang sepatutnya menjaga kepentingan ekonomi negara tetapi berusaha menyelamatkan diri.

Itulah nasib Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia yang sehingga saat-saat akhir sebagai menteri masih melaporkan usaha beliau dan rakan-rakannya untuk mengekang Covid-19 dari terus merebak di Malaysia.

Dr Dzul dan anak buahnya di Kementerian Kesihatan berjaya memulihkan 20 dari 22 pesakit yang disahkan dijangkiti virus yang telah membunuh lebih 2,700 orang  di seluruh dunia itu.

KENYATAAN TERAKHIR

Senarai kedudukan Covic-19 yang menyerang seluruh dunia. Malaysia di kedudukan ke 13 dengan 20 dari 22 mangsanya telah sembuh.

“Tatkala ramai yang sibuk bercakap tentang perkembangan politik negara ketika ini, ingin saya kongsikan khabar gembira perkembangan Pelaksanaan Survelan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19).

“Alhamdulillah hari ini dua lagi kes pesakit Covid-19 yang melibatkan dua orang warga China, iaitu kes ke-14 & kes ke-19 yang dirawat di HKL telah disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

“Tiada kes baru dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kekal 22. Bersama kita doakan lagi dua kes yang masih dirawat di Hospital dan berada dalam keadaan stabil juga kembali sembuh dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas KKM yang komited dalam menjalankan tugas. Saya sanjung tinggi budi tuan & mendoakan segala yang terbaik untuk semua warga KKM di masa depan. Ini mungkin antara sharing terakhir saya sebagai YBMK,” kata Dr Dzul melalui kenyataan terakhir beliau sebagai Menteri Kesihatan.

Terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan, bermakna tamatnya tugas Dr Dzul sebagai Menteri Kesihatan.

“Semalam, saya terpaksa keluar ofis cepat-cepat kerana ramai yang mula datang ke ofis saya. Mula-mula KSU dan Ketua Pengarah Kesihatan. Mereka berlinang air mata, saya pun turut berlinang.

“Lepas tu datang pula TKSU, setiausaha bahagian dan sebagainya. Sebelum seluruh kementerian datang, saya rasa saya kena keluar cepat-cepat,” kata Dr Dzul kepada Malaysia Dateline.

Walaupun terpaksa meninggalkan tugas sebagai Menteri Kesihatan, Dr Dzul yakin operasi untuk mengekang dan mengawal Covid-19 di negara ini akan berjalan dengan baik.

“Insya Allah semuanya akan berjalan dengan baik. Saya rasa kita telah siapkan SOP dan pendekatan yang terbaik dan jelas dalam menjalankan tugas masing-masing,” kata Dr Dzul ketika ditanya apakah tanpa kehadiran beliau usaha mengekang Covid-19 akan terbantut.

Pakar toksik atau tocsikologies ini yakin segala pendekatan yang telah ditetapkan dan diambil selama ini akan diteruskan kerana terbukti ia telah mencatatkan pencapaian yang baik.

Malaysia yang pernah mencapai kedudukan ke sembilan di dunia selepas China, Thailand, Singapura, Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.

Kini Malaysia ditangga ke 13 dunia apabila Covid-19 menyerang seluruh dunia dengan Iran menunjukkan peningkatan mendadak apabila mencatatkan 12 kematian hari ini.

Dr Dzul adalah salah seorang dari lima Menteri dari AMANAH yang telah dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri.

Selain beliau, Presiden Mohamad Sabu (Pertahanan), Timbalan Presiden Datuk Salahudin Ayub (Pertanian), Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof (Agama) dan Pengarah Komunikasi Khalid Samad (Wilayah Persekutuan).

“Saya rasa Tun mahu sesaorang yang melihat isu kesihatan ini dari atas atau wordview. Mungkin sebab itu dia pilih saya, bukan pengamal perubatan tetapi pensyarah perubatan yang melihat isu kesihatan dari perspektif yang lebih luas,” kata Dr Dzul kepada penulis ketika ditemui di rumahnya ketika bersiap-siap untuk keluar ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan Julai 2018 lalu.

Terbukti kini, apa yang diharapkan oleh Tun Dr Mahathir tercapai.

Kejayaan Dr Dzul di Kementerian Kesihatan terserlah dengan datangnya Covid-19 yang sebelum ini dikenali sebagai Corona Virus.

Semoga kerajaan PH Berjaya dipulihkan kembali dan Dr Dzulkefli Ahmad dapat berbakti semula kepada rakyat Malaysia ketika dunia sangat berharap kepada tokoh-tokoh seperti beliau.