Malaysia Dateline

Ketika negara dalam krisis, mari kita timbang kembali Kerajaan Perpaduan

Kenyataan Lim Kit Siang bahawa Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbangkan untuk membolehkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjadi Menteri Kesihatan dalam kerajaan yang ada perlu diberi perhatian serius.

Ini kerana, negara sangat memerlukan tokoh-tokoh utama untuk memimpin ketika negara dan dunia sedang menghadapi ancaman wabak Covid-19.

Negara bukan sahaja memerlukan Menteri Kesihatan yang terbaik tetapi juga memerlukan Menteri Belia dan Sukan yang terbaik. PH boleh menawarkan kembali Syed Saddiq Abdul Rahman dari Bersatu untuk kembali bagi menggantikan Menteri Perikatan Nasional (PN) yang ada.

Berbanding dengan menteri yang ada, Syed Saddiq telah berjaya menggerakkan anak muda untuk bersukan melalui Hari Sukan dan sebagainya. Beliau menjadi ikon aktivisme anak muda.

Negara juga memerlukan Menteri Pengangkutan yang terbaik. PH boleh menawar Anthony Loke dari DAP bagi menggantikan Menteri PN dari MCA yang hanya memikirkan soal kaumnya sahaja.

Terbukti Anthony mendapat sokongan dan kesukaan ramai. Bukan sahaja kepada kementerian beliau tetapi juga imej DAP. Beliau berjaya memberikan imej sederhana DAP yang selama ini diberikan pelbagai lebel buruk.

Begitu juga negara memerlukan Menteri Hal Ehwal Pengguna yang terbaik. PH boleh menawarkan Datuk Saifudin Nasution Ismail dari PKR. Ketika beliau mengemudi kementerian itu, tidak ada isu berbangkit tentang kawalan harga barangan khasnya makanan sebagaimana kerajaan PN sekarang dan BN sebelum ini.

Kalau sebelum itu, setiap kali sambutan hari raya, krisis kenaikan harga barangan berlaku, namun di bawah Saifudin ia berjaya ditangani dengan baik.

Negara juga memerlukan jurucakap kerajaan yang baik. Kita perlukan seorang pemimpin yang dapat menerangkan sesuatu isu dengan baik tanpa takut kepada kecaman. Take the bull by the horns kata orang puteh.

Nampaknya Menteri Kemunikasi yang kita ada perlukan pengganti. Kalau dahulu ramai yang kata Menteri Komunikasi PH tidak berfungsi dengan baik, apa kurangnya menteri yang ada sekarang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mencadangkan menteri terbaik yang beliau ada. Datuk Seri Zahid Hamidi boleh mencadangkan menteri terbaik yang dimiliki oleh Muafakat Nasional. Kita bagi kepercayaan kepada Yang Dipertuan Agong untuk membuat pilihan demi kepentingan negara.

Kalau begitulah keadaannya dan semua orang bersetuju dengan perkara ini, maka apakah bentuk kerajaan ini nanti?

Bagi saya, jadilah ia Kerajaan Perpaduan. Ia pernah dicadangkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika Pas letih berhadapan dengan pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil dahulu.

Ia juga pernah dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini ketika negara tidak mempunyai kerajaan.

Namun kedua-dua cadangan itu ditolak. Bukan kerana cadangan itu tidak baik tetapi faktor pendorong kepada cadangan itu tidak ada.

Kini negara dan dunia berhadapan dengan krisis besar. Kita perlu tampil ke depan bagi menghadapi krisis ini dengan kepimpinan terbaik.

Kita perlukan Perdana Menteri terbaik, kita perlukan Menteri Kesihatan terbaik dan juga memerlukan Menteri Komunikasi yang terbaik.

Hanya dengan pemimpin terbaik negara boleh menghadapi krisis ini dengan jaya. Jika tidak anak cucu kita di kemudian hari akan kencing di atas kubur kita kerana kegagalan dan kesombongan kita.

Saya mohon mencadangkan Kerajaan Perpaduan. Kalau ditolak, saya tidak rugi apa-apa.

 


*Tulisan ini pandangan penulis semata-mata. Ia tidak semesti pandangan Malaysia Dateline.