Ketika Pas-DAP ‘berperang’ di Sarawak, Amanah pilih jalan damai

Ketika Pas-DAP ‘berperang’ di Sarawak, Amanah pilih jalan damai

Ketika pemimpin Pas dan DAP berbalas serangan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, Parti Amanah Negera (Amanah) yang turut meletakkan 13 calon dalam PRN itu mengambil jalan damai.

Bagi mengukuhkan hubungan sesama parti pembangkang, pemimpin Amanah yang diketuai Timbalan Presiden Salahuddin Ayub berkunjung ke pejabat DAP Sibu semalam.

Salahuddin diiringi Timbalan Setiausaha Agung, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Hu Pang Chaw dan aktivis parti, Mohd Burhanuddin Othman.

Rombongan Amanah disambut mesra Ahli Parlimen DAP Sibu, Oscar Ling.

Membincangkan isu-isu di sekitar PRN Sarawak yang berakhir esok.Lebih menggembirakan semua calon DAP bagi kawasan parlimen Sibu dan Lanang turut hadir iaitu Chiew Sung Ngie (N53 Bawang Assan), Wong Kee Woan (N54 Pelawan), Irene Mary Chang (N51 Bukit Assek) dan calon DAP N52 Dudong, Yap Hoi Liong.

Pertemuan itu dimanfaatkan dengan perbincangan isu semasa khususnya perjalanan kempen PRN yang bakal berakhir tengah malam ini.

Esok adalah hari pembuangan undi bagi PRN Sarawak ke-11.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menerima kritikan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana dianggap tidak sensitif terhadap semangat muhibah rakyat Malaysia.

Ini ekoran laporan Malaysiakini yang memetik ucapan Abdul Hadi dalam satu kempen pilihan raya di Kuching bahawa Pas hanya mahu Sarawak diperintah oleh kaum Bumiputera beragama Islam dan bukan oleh kaum lain.

Sehubungan itu Guan Eng menganggap Abdul Hadi telah menunjukkan sikapnya yang sebenar terhadap masyarakat bukan Islam apabila menyatakan hanya orang Islam berhak memimpin Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau, DAP sebagai parti pelbagai kaum berjuang untuk orang Islam dan bukan-Islam dan tidak pernah menuntut supaya jawatan Ketua Menteri Sarawak diberikan kepada kaum Cina.

Namun, katanya, tidak ada sebab untuk DAP menolak pemimpin Bumiputera, sama ada Islam atau bukan-Islam, untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak.

“Kenyataan anti masyarakat bukan-Islam oleh Hadi bukan sahaja memecahbelahkan kesatuan rakyat tetapi juga menyinggung perasaan bumiputera bukan-Islam yang merupakan majoriti di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jabatan Statistik pada 2014 menyenaraikan kaum Dayak (Iban, Orang Ulu, Bidayuh dan kaum-kaum lain) mewakili 45.4 peratus penduduk Sarawak, diikuti Melayu (24.4 peratus), Cina (24.2 peratus), Melanau (5.4 peratus) serta kaum lain (0.06 peratus).

Abdul Hadi ketika berucap berkata, Pas ‘tidak menghalalkan’ orang lain dan tidak setuju DAP memerintah Sarawak.

Menurutnya, bangsa Cina dan India boleh menjadi rakyat namun ia perlu dipimpin oleh pemimpin beragama Islam.

“PAS mahu Sarawak diperintah oleh bumiputera, bukan kaum lain tapi bumiputera mesti perintah Sarawak dan PAS mahu ia bumiputera Islam.

“Kita tak menghalalkan orang lain, kita tidak setuju DAP perintah Sabah, Sarawak kita tidak setuju. Kita terima orang Cina, India jadi rakyat, kita layan adil semua tapi memerintah negeri mesti bumiputera,” katanya dipetik Malaysiakini.

Abdul Hadi berceramah di hadapan kira-kira 250 orang di Padang Hadapan Masjid Ikhwanul Muslimin, Taman Sukma, Kuching malam kelmarin.

Dalam ucapannya juga, Abdul hadi berkata Pas bukan mahu memerintah Sarawak (kerana hanya meletakkan 11 calon daripada 82 kerusi Dun), sebaliknya mahu menjadi penasihat kepada kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“PAS bertanding 11 kerusi (dalam PRN), kalau PAS menang 11 kerusi masih ada 72 kerusi ada lagi, PAS tidak boleh memerintah dengan 11 kerusi.

“Mereka nak 71 kerusi ambil ambil sebab PAS cuma nak 11 kerusi sahaja tujuannya apa, untuk jadi penasihat dengan menasihati kerajaan supaya memerintah dengan mana adil seperti ditunjuk oleh Islam,” katanya disambut dengan sorakan ‘Allahuakbar’.

TAGS