Malaysia Dateline

Ketika PKP, ketua bahagian Bersatu Pahang dipanggil berkumpul di KDN

Ketika rakyat dilarang dari membuat sebarang perhimpunan, kesemua 12 ketua bahagian Bersatu Pahang dipanggil ke Kementerian Dalam Negeri Isnin, 6 April lepas.

Mereka diberikan pengecualian khas melalui satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Seyed Amir Muzakkir bin Sayed Mohammad.

Surat dari pejabat KDN kepada ketua bahagian Bersatu Pahang.

Menurut surat kuning yang menggunakan kepala surat Kementerian Dalam Negeri itu, semua pihak diminta memberikan kerjasama agar memberikan “Pengecualian kawalan pergerakan bagi menghadiri urusan rasmi di Kementerian Dalam Negeri”.

Menurut surat itu, “sebagaimana tuan sedia maklum, pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

“Walau bagaimanapun, nama-nama berikut diberi kelonggaran untuk menghadiri urusan rasmi di Kementerian Dalam Negeri pada tarikh 6 April 2020,” kata surat itu.

Namun yang peliknya, kesemua penama yang disebut dalam surat bertarikh 6 April juga itu adalah Ketua Bahagian Bersatu di Pahang.

Antaranya Raub, Paya Besar, Cameron Highland, Jerantut, Kuala Kurau, Bentong dan Bera.

Menurut surat itu, lokasi pergerakan mereka adalah dari Pahang ke Putrajaya.

Sementara itu, ahli parlimen PKR, Fahmi Fadzil mempertikaikan tindakan mengumpulkan pemimpin Bersatu dari Pahang ke Putrajaya itu.

“Adakah surat ini sahih?

“Jika ya, apa urusan rasmi KDN yang melibatkan individu-individu dipercayai pemimpin Bersatu yang begitu penting dan perlu diadakan sekarang sehingga mereka perlu dikecualikan daripada PKP untuk bergerak dari Pahang ke Putrajaya?

“Pohon penjelasan segera,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Menurut rekod, Seyed Amir Muzakkir bin Sayed Mohammad adalah Exco Pergerakan Pemuda Umno. Walaupun surat itu dikeluarkan atas nama Setiausaha Politik, namun sehingga kini tidak ada sebarang majlis angkat sumpah yang biasanya diadakan di depan Perdana Menteri.

Bos beliau, Menteri Dalam Negeri adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini sudah menyertai Bersatu dan dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

Hamzah disebut-sebut sebagai salah seorang tulang belakang di sebalik “Langkah Kajang” yang membawa kejatuhan kerajaan PH dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Putrajaya telah diisytiharkan sebagai kawasan merah ekoran penularan Covid-19.