Malaysia Dateline

Ketika rakyat susah mahu makan, Kedah lancar litar lumba RM1.3 bilion

Ketika rakyat susah untuk makan ekoran wabak Covid-19, langkah kerajaan Kedah pimpinan Pas memberikan keutamaan kepada pembinaan litar lumba berharga RM1.3 juta di Bukit Malut, Langkawi dikesali.

Ini kerana, bantuan dari kerajaan sangat diperlukan sekarang untuk membolehkan pelbagai pihak menghadapi pandemik ini dan bukan litar lumba itu yang diperlukan sekarang.

Projek ini pula dengan bangganya disiarkan oleh Harakahdaily (gambar atas), lidah rasmi Pas tanpa mengira perasaan rakyat negeri Kedah yang memerlukan bantuan bagi melepasi bebanan akibat wabak ini.

Semalam Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menandatangani perjanjian usahasama projek litar lumba dan Resort Bersepadu Open Road, Langkawi, projek yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi itu.

“Pelaburannya berjumlah RM1.3 bilion dan jangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Kerajaan negeri akan memberi sepenuh kerjasama sama ada melibatkan agensi tertentu, Majlis Bandaraya Langkawi dan Pejabat Daerah agar ia siap mengikut jadual,” ujar beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman.

Menurutnya juga proses persetujuan dan perjanjian antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja.

Projek Open Road International Circuit dan Integrated Resorts dibangun di kawasan seluas 183 ekar tidak melibatkan penempatan Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut.

Sebaliknya ia dibangunkan di tanah mengadap laut di kawasan terbabit. Projek merangkumi sukan permotoran dan resort bersepadu yang akan mengandungi kediaman mewah dan outlet penjualan barangan mewah.

Selain itu hotel bertaraf lima bintang, pusat pengedaran kereta 4-S, gudang penyimpanan kereta untuk 990 unit, stesen minyak dan pelbagai lagi tarikan pelancong termasuk restoren kelas dunia.

“Projek terbabit akan memberi manfaat kepada Langkawi dan penduduknya serta menjadi tarikan baru sektor pelancongan selain tarikan sedia ada,” kata Sanusi.

Ketika berucap sebelum itu Sanusi mengaku komponen yang dibuat dalam projek itu adalah mewah.

Litar lumba sepanjang 5.8 kilometer dilengkapi litar lurus terpanjang, anjakan selekoh serta hairpin turun bukit yang menyerupai litar Nurburgring, Jerman.

PINDAH PENDUDUK BUKIT MALUT

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri bersetuju dua lokasi yang dikenal pasti pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk dijadikan penempatan baharu penduduk Bukit Malut itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penduduk Melayu Islam Kedah (MIK) di lokasi itu perlu dipindahkan segera berikutan kawasan berhampirannya akan dibangunkan projek litar lumba antarabangsa dalam tempoh terdekat.

Katanya, sama ada penduduk berkenaan bersetuju atau tidak mereka tetap akan dipindahkan.

“Mahu tak mau mereka kena pindah. Tetapi rumah itu mereka kena beli macam orang lain juga,” katanya pada sidang media di Wisma Darulaman hari ini.

PENDUDUK BUKIT MALUT BUKAN ROHINGYA

Tun Dr Mahathir bertemu dengan penduduk Bukit Malut. Gambar FB Tun Mahathir.

 

Dua hari lepas, ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, penduduk di kawasan penempatan Bukit Malut, Langkawi bukanlah warga Rohingya.

Sebaliknya beliau berkata, mereka adalah penduduk asal negeri Kedah yang merantau ke Thailand dan Myanmar kemudian kembali semula ke Langkawi.

“Orang Bukit Malut ini bukan orang Rohingya, mereka ini orang Melayu yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar dan balik semula ke sini, mereka fasih berbahasa Melayu.

“Masyarakat yang tinggal di sini ialah orang Kedah yang merantau keluar dan balik semula dan buka penempatan di sini.

“Asalnya tidak ramai tapi setelah beranak pinak jadi bertambah. Bertambah bukanlah orang baharu tetapi orang asal sini,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya pada Selasa lepas.