Malaysia Dateline

Ketika sibuk bantu mangsa Covid-19, MPP WP ditamatkan khidmat

Ketika negara dan masyarakat berhadapan dengan Covid-19, ahli politik di Wilayah Persekutuan pula berusaha menamatkan khidmat semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan parlimen mereka.

Menurut kenyataan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di Kuala Lumpur dan Labuan, mereka dimaklumkan khidmar MPP mereka ditamatkan pada 23 Mac 2020 lalu.

Sehubungan dengan itu, mereka menuntut agar ahli MPP ini dikekalkan dahulu untuk membolehkan mereka menjalankan tugas bagi membantu masyarakat.

MPP mempunyai dua level di Wilayah Persekutuan iaitu mengikut Zon dan juga Sub Zon. Zon adalah mengikut kawasan Parlimen masing-masing. Bilangan sub zon pula bergantung kepada jumlah pengundi di kawasan zon berkenaan.

“Kami, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan baru dimaklumkan pada hari ini bahawa perkhidmatan semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan parlimen kami dihentikan berkuatkuasa 23 Mac 2020.

“Tindakan ini, pada ketika Malaysia di dalam Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19, amatlah tidak patut dan amat kejam.

“Ini kerana sejak ahli MPP dilantik pada Januari 2019, mereka telah berkhidmat kepada semua penduduk KL dan Labuan tanpa mengira kaum, agama, mahupun fahaman politik.

“Penduduk KL dan Labuan telah mengenali mereka dan mengharapkan bantuan khidmat masyarakat dari MPP,” kata kenyataan mereka hari ini.

Menurut mereka, MPP bekerja untuk semua bukan untuk penyokong mana-mana parti politik.

“Pada waktu ini juga sedang dikerah untuk bantu rakyat dalam pelbagai program sumbangan kebajikan.

“Penukaran MPP hanya akan melambatkan penyampaian sumbangan yang amat diperlukan terutama di kalangan golongan miskin bandar,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, mereka menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, agar mengutamakan rakyat ketika ini dan memberi pertimbangan khusus dan tidak menamatkan perkhidmatan MPP sedia ada.

“Penukaran MPP hanya akan menimbulkan keresahan dan kekeliruan di kalangan rakyat,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Teresa Kok (Seputeh), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew  (Wangsa Maju), P Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Dato’ Rozman Ismail (Labuan).