Ketinggian, semangat Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dilindungi

Ketinggian, semangat Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dilindungi

Bila saya mengikuti polemik ura-ura cadangan PH untuk melantik seorang peguam senior sebagai calon Peguam Negara, saya agak teruja untuk memberi dan berkongsi pandangan saya.

Secara jujur dan dengan andaian cadangan calon Peguam Negara itu adalah benar, maka saya menyokong sepenuhnya cadangan tersebut tanpa ada sedikit pun apa-apa keraguan.

Calon tersebut, bagi saya, bukan sahaja berpengetahuan dan berpengalaman mendalam dalam undang-undang, malahan yang lebih penting ,setakat yang saya kenal beliau, beliau adalah seorang peguam senior yang berintegriti amat tinggi – ciri penting yang perlu ada bagi seorang Peguam Negara.

Saya ada pengalaman bersama-sama beliau semasa mengendalikan kes “menghina mahkamah” (contempt of court) yang difailkan oleh SYABAS ke atas seorang peguam wanita iaitu puan Fahdah dan saudara Ahmad Lutfi Othman. Calon Peguam Negara itu mewakili Puan Fahdah dan saya pula mewakili saudara Ahmad Lutfi Othman.

Alhamdulillah, kami menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan – permohonan dan rayuan SYABAS ditolak dengan kos. Memang calon tersebut, saya lihat, seorang peguam yang amat hebat dan berwibawa.

Dari perbahasan di alam maya, nampaknya sekali lagi isu perkauman, isu bangsa dan isu agama cuba ditonjolkan. Terus terang saya betul-betul muak dan bosan dengan isu perkauman tersebut.

Dengan hormat, saya rasa kita semua kena berlaku jujur. Pertamanya, tiada sebarang pun peruntukkan dalam undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan seorang AG atau Peguam Negara mesti seorang Melayu/Islam.

Jadi, saya fikir ketinggian Perlembagaan dan spirit Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial (social contract) perlu dan wajar dihormati dan dilindungi

Selanjutnya, kita kena juga lihat sejarah sebelum ini. Bukankah Peguam Negara yang sebelum ini ,yang dilantik oleh rejim BN adalah seorang Melayu/Islam? Tapi, lihatlah kerosakan yang beliau telah lakukan ke atas reputasi dan nama baik institusi Peguam Negara.

Begitu juga lihatlah siapa yang merosakkan sistem kewangan negara ini dengan pelbagai skandal mega dan mengapa Peguam Negara yang berbangsa Melayu/Islam melindungi pihak yang terpalit dengan skandal mega itu yang juga Melayu/Islam?

Lihatlah juga bagaimana wujudnya para agamawan yang tidak segan silu selalu bertindak memberi “nyawa” kepada pihak yang telah rosakkan negara ini. Tolonglah janganlah tutup mata kita.

Sayugia di sini saya ingin ingatkan bahawa Malaysia adalah untuk semua bukan untuk bangsa , kaum atau agama tertentu. Titik. Kita semua ada peranan dan tanggugjawab untuk bangunkan Malaysia Baru. Politik perkauman sempit, maaf, sudah jadi sejarah!

Allah lebih tahu.

CATEGORIES