Ketua, 3 anggota ‘Geng Pak Su’ didakwa

Ketua, 3 anggota ‘Geng Pak Su’ didakwa

Ketua ‘Geng Pak Su’ antara empat lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang.

Johari Ariffin, 35 bersama tiga lagi anggota kumpulan itu Rosidi Aziz, 35: Norazif Ahmad, 37 dan Shahadan Salim, 38 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim Azman Abu Hassan.

Kesemua mereka dituduh menyertai kumpulan jenayah terancang itu antara 1 Jan 2015 hingga 30 Ogos 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala peguam Jay Moy Wei Jiun mewakili tertuduh pertama iaitu Johari, Rosidi (tertuduh kedua) dan Shahadan (tertuduh keempat).

Peguam Faizal Rahman pula mewakili tertuduh ketiga, Norazif.

Prosiding hari ini dikawal ketat oleh pasukan polis yang turut disertai diri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, lebih ramai anggota ‘Geng Pak Su’ akan dihadapkan ke mahkamah susulan pendakwaan terhadap ketuanya dan tiga anggota kumpulan itu.

Jumlah ahli yang akan dituduh akan diberitahu kemudian.

“Ini merupakan kali pertama pertuduhan dibuat terhadap jenayah penyeludupan di sempadan dan kita berharap ia akan memberi impak kepada kegiatan penyeludupan dan kumpulan-kumpulan penyeludup yang lain,” katanya kepada pemberita di perkarangan kompleks mahkamah.

CATEGORIES
TAGS