Malaysia Dateline

Ketua AMK P Pinang saran Guan Eng segera hapuskan Tol Sungai Nyior

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disarankan supaya meneliti kembali kedudukan tol Sungai Nyior yang diterajui oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, kata Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

Jelasnya lagi, dulu semasa menjadi pembangkang isu pemansuhan tol Sungai Nyior menjadi perdebatan hangat sehingga memberi kemenangan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

Sehubungan itu katanya, janji untuk memansuhkan tol tersebut harus direalisasikan kerana ia berada dalam negeri Pulau Pinang.

“Rakyat senantiasa memerhatikan setiap tindakan kita sebagai kerajaan negeri maupun kerajaan pusat.

“Sehubungan itu sekiranya isu yang telah diperjuangkan sejak sekian lama terbukti mampu memberi dokongan dan keyakinan rakyat kepada PH, maka ianya mesti direalisasikan.

“Semasa menjadi oposisi dan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini, Guan Eng acapkali memperjuangkan serta memperkatakan mengenai pemansuhan tol Sungai Nyior sekiranya kepimpinan berjaya berubah, maka ianya mesti dilaksanakan secepat mungkin,”ujarnya ketika ditemui.

Tambah Fahmi lagi, kedudukan tol Sungai Nyior yang berdekatan dengan Parlimen Permatang Pauh turut memberi kesan kepada pengundi dan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Oleh kerana itu tegasnya, kerajaan mesti mengambil tindakan segera dengan memperlihatkan kepada rakyat Pulau Pinang khususnya bahawa apa yang telah dicanang-canangkan dalam pilihan raya umum yang lalu mampu menjadi kenyataan.

“Jika Jambatan Pulau Pinang, kerajaan PH boleh menghapuskan tol bagi penunggang motosikal baru-baru ini, adalah tidak mustahil ianya juga boleh dilaksanakan bagi tol Sungai Nyior.

“Pemansuhan tol Sungai Nyior seandainya menjadi realiti, ia bukan saja membuktikan apa yang telah dinyatakan menjadi nyata, sebaliknya memperlihatkan pentadbiran dan kepimpinan PH kepada rakyat.

“Maka itu adalah diharapkan isu ini dapat diselesaikan dengan kadar yang segera agar ia tidak menjadi kudis yang akan memberi impak negatif kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan PH pada masa yang akan datang, ” kata Fahmi lagi.