Malaysia Dateline

Ketua AMK terharu lihat Anwar, Azmin duduk bersama

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menzahirkan rasa terharu apabila melihat kedua-dua pimpinan tertinggi parti itu duduk bersama-sama.

Akmal yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

“Semalam (4 Disember), saya bersama dalam Biro Politik Khas terharu apabila pimpinan kami, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali duduk bersama dalam usaha mencari jalan untuk menguatkan parti.

“Dalam beberapa bulan, saya tahu pendirian kami mungkin ada bezanya, namun dalam soal parti ‘team program’ kita letakkan semua itu ke tepi dan memastikan parti ini kita angkat bersama-sama,” katanya dalam majlis yang berlangsung kira-kira 2 jam itu.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Perdamaian antara Anwar dan Azmin dilihat akan mengukuhkan lagi Pakatan Harapan (PH).

Menyifatkan perdamaian itu sebagai tepat pada masanya, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub gembira dengan perkembangan terbaru berkaitan dua pemimpin utama PH itu.

“Perdamaian itu penting untuk mengembalikan kekuatan PH. Jika tidak, sukar bagi PH. Ia membantu mengukuhkan parti kita (PH),” katanya lagi.