
Ketua AMK tidak mahu buat spekulasi dalang di sebalik kejadian di pejabatnya
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung dalang di sebalik kejadian yang berlaku di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru, pagi tadi.
Pagi tadi, pintu masuk Pusat Khidmat Rakyat itu disimbah dengan cat merah dan disertakan dengan bangkai seekor ayam beserta mesej ugutan terhadap Ahli Parlimen Johor Bahru itu.
Akmal berkata, kejadian tersebut disedari kakitangan pusat berkenaan pada jam 7.20 pagi ketika ingin masuk ke pejabat terbabit.
Susulan kejadian itu, Akmal yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung ancaman tersebut.
“Cuma pada masa kini, bagi saya politik berbaur ugutan sepatutnya sudah tidak berlaku.
“Saya tak nak buat sebarang spekulasi atau menyentuh mana-mana pihak. Pada saya, ini (ugutan) bukanlah cara untuk kita berpolitik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Ditanya adakah ugutan itu mempunyai kaitan dengan perbalahan dalam kalangan AMK, Akmal tidak mahu membuat sebarang spekulasi.
“Cuma saya akan terus menyuarakan pandangan daripada akar umbi dan cuba menyelesaikan masalah rakyat.
“Dari segi Parlimen pula, saya menghadiri sesi dan paling penting, tanggungjawab atau pun amanah yang diberikan kepada saya, akan dilakukan seperti biasa,” ujarnya lagi.