Ketua Armada sanggah Pemuda Pas isu skandal BMF

Ketua Armada sanggah Pemuda Pas isu skandal BMF

Tiada bukti jelas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam skandal BMF seperti didedahkan agensi risikan Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, sekiranya diteliti pendedahan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menerusi laporan bertajuk ‘The Bank Bumiputra Scandal: More Trouble Ahead for Malaysia’s Mahathir? secara sahih tidak menyabitkan mahupun menyatakan Mahathir terlibat dalam skandal tersebut.

“Frasa “circumstancial evidence suggests that the scandal extends to Mahathir’s administration” (bukti yang mencukupi menunjukkan skandal meliputi pemerintahan Mahathir) di halaman tiga laporan tersebut dan “thus far no direct links have been established between Mahathir and the corruption at BMF” (sehingga kini masih belum ada kaitan antara Mahathir dengan korupsi di BMF) di halaman empat.

“Ini membuktikan bahawa tiada bukti jelas penglibatan Tun Mahathir Mohamad dan korupsi di BMF,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pada zaman Mahathir, beliau terpaksa menangani skandal BMF ini bersama sama dengan Tun Daim dengan menjualnya kepada Petronas bagi menyelesaikan masalah ini.

“Pada masa ini juga, segala siasatan dan dakwaan tidak di masuk campur oleh pihak pihak yang tertentu. Siasatan diselesaikan malah tidak dihalang mahupun diberhentikan seperti skandal 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan agar satu kertas siasatan ke atas Mahathir dibuka berikutan pendedahan terbaharu oleh CIA melibatkan pelbagai skandal di bawah pentadbiran Mahathir.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, isu BMF mempunyai jurang yang begitu banyak dengan skandal 1MDB.

“Skandal ini bermula pada tahun 1979-1983 di mana RM 2.3 billion diselewengkan pada masa Tengku Razeleigh Hamzah menjadi Menteri Kewangan (kini: MP Gua Musang), Tun Hussein Onn merupakan Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir sebagai Timbalan dan merangkap sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mereka termasuklah bekas Pengarah Eksekutif BBMB, Datuk Hashim Samsudin, bekas Pengerusi BBMB Lorraine Esme Osman dan bekas pengarah gantian BBMB, Dr Rais Saniman,” katanya.

Namun katanya, skandal 1MDB baru-baru ini yang melibatkan lebih RM2.6 billion diselewengkan di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ketika beliau mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap 1MDB tidak didakwa malah siasatan dalam negara dihentikan.

“Ini sangat berbeza jika dibandingkan bagaimana Mahathir dan Najib mengendalikan dua skandal ini.

“Sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Khas (Special Investigation Comittee) telah ditubuhkan dan segala laporan didedahkan kepada orang awam. Akan tetapi skandal 1MDB kerajaan Najib tidak menubuhkan sebarang Jawatankuasa Penyiasatan Khas yang bebas daripada selia kuasa beliau.

“Tun Mahathir menyelesaikan skandal ini demi rakyat. Najib mencipta skandal demi kepentingan peribadi beliau dan akhirnya menjerat rakyat Malaysia dalam skandal beliau sendiri,” Katanya lagi.

Beliau turut mempersoal pihak yang mengiktiraf laporan CIA itu tetapi menolak laporan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) berkaitan 1MDB.

“Jika kita mampu mengiktiraf laporan CIA yang jelas tiada mengemukakan bukti terhadap Mahathir, mengapa pula tidak mahu mengiktiraf sama laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) yang terang-terangan menunjukkan bukti skandal 1MDB?,”katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)