Ketua Bahagian hanya diberikan projek-projek kecil acuan PH, kata Abdul Rashid

Ketua Bahagian hanya diberikan  projek-projek  kecil acuan PH, kata Abdul Rashid

Naib Presiden Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, kontrak kerajaan yang dicadang bertujuan membantu ketua bahagian dan ketua cawangan adalah projek-projek kecil.

Bagaimanapun setiap projek diberikan perlulah melalui proses yang menjamin ketelusan dan integriti.

“Bukan saya suruh bagi kontrak kerajaan kepada mereka. Jika mereka dapat projek- projek kecil yang mereka boleh seliauntuk  membantu menggerakkan parti dan jalankan aktiviti atau mungkin juga kewangan persekutuan dapat disalurkan kepada rakyat melalui ketua-ketua bahagian, itu caranya.

“Apa yang saya maksudkan juga adalah kontrak kerajaan yang dikawal dan ada tatacaranya.

“Saya dah muak dengan ide makan malam jual meja. Orang Melayu tidak boleh kutip duit dengan orang Melayu, melainkan orang Cina mereka adalah ahli perniagaan, DAP boleh buat, tetapi bukan parti saya.

“Saya cadang wujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kawal kontrak Kerajaan Persekutuan yang diberi kepada Kerajaan Negeri seperti Kelantan dan Terengganu.

“Tidak semestinya apa yang BN lakukan sebelum ini tidak betul. Banyak yang betul cuma PH kena ubah suai dengan kerajaan hari ini,” ujarnya dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Dateline ketika ditemui dipejabatnya di Putrajaya.

Abdul Rashid yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu melihat parti-parti politik seharusnya mempunyai ide bagaimana untuk memastikan PH mendapat sokongan akar umbi dan rakyat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Cadangan dilontarkan itu bukan bermaksud, mahu mengunakan semaksima ‘sumber’ kerajaan untuk pertahankan kuasa dengan cara pemberian kontrak.

Beliau berkata sebelum menang pilihan raya Pakatan Harapan (PH) berlegar dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan aura Dr Mahathir yang menarik pengundi menyokong PH dalam PRU14 lalu, namun ujarnya, keadaan itu tidak akan berulang  pada PRU15.

“Isu seperti 1MDB dan aura Tun M tidak boleh mengulangi tsunami politik PRU14…apa yang kita ada nanti (PRU15)?

“Walaupun Bersatu menang 13 kerusi kita perlu pertahankan parti sendiri dalam PRU untuk tentukan PH akan terus kekal memerintah.

“Ketua bahagian minta diberi perhatian, itu yang amat mereka hargai kerana sebelum ini tiada perhatian serius pada masalah mereka.

“Saya perlu buat cadangan yang dilihat sebagai membela kedudukan ketua bahagian dalam apa cara sekalipun untuk membolehkan mereka ini menjalankan kerja parti mendekati masyarakat. Jika terus diabaikan, aktiviti mereka akan lumpuh dan kita kena cari jalan.

Ini satu keadaan pemimpin harus faham cara untuk kuatkan parti dari akar umbi. Kita kena ambil perhatian akar umbi dengan menjaga kebajikan mereka bagi tujuan pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Menaruh harapan

Ditanya sejauh mana beliau yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cadangan beliau itu?

“Adakah Tun M kata beliau menolak?

“Saya masih lagi berpendapat bahawa ketua bahagian dan ketua cawangan mesti dibantu untuk uruskan pelbagai projek kerajaan di peringkat akar umbi.

“Saya tidak fikir habis di situ (kenyataan Dr Mahathir)…walaupun itu pandangan peribadi saya, tidak semestinya ia tidak diterima…you (wartawan) ingat beliau (Dr Mahathir) tidak terima? Sedangkan semua ketua bahagian menyokong ide itu.

“Ia perlu dibincang lebih lanjut dalam parti dan susurgalurnya diperhatikan supaya kedudukan mereka terbela akhirnya akan dapat menjalankan urusan parti dengan baik untuk dekati rakyat dan sebagainya.

“Tetapi kita perlu memikirkan cara bagaimana untuk laksanakan perkara itu yang boleh melibatkan ketua bahagian dan ketua cawangan bukan sahaja Bersatu tetapi parti komponen dalam PH dengan telus tanpa korupsi,kronisme,salah guna kuasa dan kemungkaran..

“Saya mahu ketua bahagian menjadi agen kepada rakyat termasuk dalam pemberian projek-projek kecil kerajaan yang mana mereka boleh sertai,” ujarnya.

Menang sorak, pandangan ‘ditembak’

Beliau menegaskan, bersedia untuk berdebat dengan mana-mana pihak sekiranya masih ada yang membantah pandangan spontan dilontarkan itu ketika ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali-2 pada 30 Disember lepas.

“Armada ada ide kita boleh debat dan bincang, jika menang debat atau perbahasan sekalipun, bolehkah kita menang pilihan raya? Kita nak menangkan hati rakyat, bukan menang perbahasan atau menang sorak kampung tergadai.

“Saya pun pernah muda…saya sayang Armada dan Srikandi. Anak muda idelisma ada tetapi kebanyakan ide ‘Mat Jenin’ tidak ke mana-mana untuk membantu parti,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada penentangan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pimpinan PH yang tidak sependapat dengan cadangan beliau.

Sehingga bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menerusi twitter mendesak beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Sambungnya lagi,”saya cakap dalam konteks parti saya…nak marah-marahlah. Saya tidak baca komen-komen yang ‘tembak’ saya kerana ini hal ehwal Bersatu, mereka jaga parti mereka.

“Saya tidak sebut berkaitan dengan dasar parti, mereka tidak setuju biarkan lah.Saya sebut apa yang saya fikir untuk parti saya sendiri.

“Saya lakukan ini diluar daripada jawatankuasa (ERC) itu, bukan saya lakukan jenayah pun.

“Dia (Maria Chin) tidak faham apa-apa pun, dia tak hayati ucapan saya.  Cakap senanglah suruh berhenti. Masa saya jadi Pengerusi SPR dulu (2000-2008) puak-puak Bersih juga yang suruh saya berhenti. Cakap sombong senanglah,” balasnya.