Ketua Balai mengaku tak bersalah, didakwa curi RM300,000 dan beg berjenama Prada

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pegawai polis berpangkat Ketua Balai dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan mencuri wang RM300,000 dan sebuah beg berjenama Prada di sebuah kondominium pada Februari lalu.

Tertuduh, Inspektor Azlan Sudin yang merupakan Ketua Balai Polis Bukit Jalil itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak terbabit bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah mencuri wang RM300,000 dan sebuah beg berjenama Prada berhitam milik seorang wanita berusia 35 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di antara pukul 5.45 petang hingga 6.20 petang pada 21 Februari lalu di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan tersebut turut dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun dan denda sekiranya sabit kesalahan, lapor Berita Harian.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh pula diwakili oleh peguam iaitu Huang Yee Ching.

Majistret Farah Nabihah kemudian membenarkan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 21 Mei depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Ketua Balai Polis itu juga didakwa di Mahkamah Majistret berasingan namun turut membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tidak menangkap seorang lelaki yang terbabit dengan jenayah. 

Mengikut pertuduhan, Azlan sebagai anggota berpangkat Inspektor yang berkewajipan dari segi undang-undang untuk menangkap lelaki berusia 35 tahun kerana terbabit dalam kesalahan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 namun dengan sengaja meninggalkan daripada menahan orang itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh di lobi Balai Polis Bukit Jalil, Cheras pada 21 Februari lalu di antara pukul 6.50 petang hingga 7 malam.

Atas kesalahan tersebut, pegawai itu didakwa mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.

Majistret Noorelynna Hanim Halim kemudian memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh pada 19 Mei untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun Huang memohon amaun minimum kerana anak guamnya memberi kerjasama penuh ketika siasatan.

Difahamkan sebelum direman, tertuduh yang sudah berumah tangga dan memiliki pendapatan sebanyak RM4,000 itu pernah menyerahkan diri sebanyak dua kali untuk membantu siasatan.

Baca juga: Wanita Indonesia terkejut tengok kelakuan tertib rakyat Malaysia ketika makan bufet