Malaysia Dateline

Ketua Cabang PKR Kelantan sokong Mohamad Suparadi sebagai Pengerusi MPN

Pelantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan yang baharu menerima sokongan hampir kesemua ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu.

Mohamad Suparadi berkata dalam pertemuan yang diadakan hari ini 11 ketua cabang telah menyatakan sokongan terhadap pelantikan beliau iaitu cabang Pasir Mas, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Bachok, Pengkalan Chepa, Machang, Tanah Merah, Kota Bharu dan Tumpat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu beliau berkata tiga lagi cabang iaitu Ketereh, Kubang Kerian dan Rantau Panjang masih belum menyatakan pendirian mereka.

Beliau berharap cabang yang masih belum menyatakan sokongan dapat berbuat demikian secepat mungkin dan juga berharap mereka terus istiqamah dalam meneruskan agenda reformasi.

“Amat penting pimpinan yang belum menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersama-sama bagi menjadikan PKR sebuah parti yang dominan di negeri ini bagi menyaingi Pas dan Umno,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Pasir Puteh Ismail Mohamad berkata pelantikan Suparadi tidak boleh dipertikaikan kerana ia dilakukan melalui undian dan majoriti memihak kepadanya.

Ismail berkata selain itu pelantikan Suparadi sebagai Pengerusi MPN amat tepat kerana beliau berpengalaman luas dan mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai pihak.

“Pengerusi baharu ini adalah individu yang memegang jawatan dalam Majlis Jaksa Pendamai selain sebagai turut dilantik sebagai Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional). Dengan kriteria ini diharap beliau dapat membawa perubahan kepada PKR Kelantan,” katanya.

Ketua Cabang PKR Bachok Datuk Mohd Rowi Dollah berkata rata-rata anggota PKR Kelantan mahu melihat satu perubahan yang diyakini mampu melonjakkan parti ke tahap yang lebih baik.

“Biarlah anggota Majlis Pimpinan Negeri membuat rangka kerja bagi membawa perubahan kepada parti bagi menghadapi Piliharaya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Kepada yang kecewa kembalilah memperkuatkan parti,” katanya.