Ketua Cawangan mahu Lembaga Disiplin ambil tindakan tatatertib  14 Ketua Bahagian

Ketua Cawangan mahu Lembaga Disiplin ambil tindakan tatatertib 14 Ketua Bahagian

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mahu Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan displin mengikut perlembagaan parti itu ke atas 14 Ketua  Bahagian Umno Kedah yang cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, jika beliau bersama sembilan lagi Ketua-Ketua Cawangan Umno dalam Bahagian Jerlun, dikenakan tindakan hukuman gantung keahlian selama enam tahun, jadi sudah tentu tidak ada sebab pula untuk Lembaga Disiplin parti mengenakan tindakan dan hukuman sama kepada Ketua-Ketua Umno Bahagian berkenaan.

“Kami amat memandang berat terhadap perkembangan mutakhir yang g berlaku dalam Uumno Kedah dan mengutuk keras tindakan sebahagian Ketua Bahagian dan Umno Kedah semalam, yang cuba menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar.

“Alasan yang diberi berkenaan kegagalan Mukhriz didalam mengemudi parti dan jentera pentadbiran kerajaan negeri adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Ketiadaan fakta dan penjelasan terperinci menunjukkan dakwaan tersebut adalah bersifat jahat.

Fokus patut diberikan terhadap membantu rakyat yang menghadapi tekanan akibat kenaikan harga barang dan cukai yang menjejaskan kehidupan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

Ditanya agak terlalu awal GKCM membuat tuntutan kepada Lembaga Disiplin Umno tanpa mengetahui apakah keputusan yang bakal dibuat oleh pihak lembaga sendiri.

Kamarulazman berkata, “Kita nak ingatkan Lembaga Disiplin dulu, supaya mereka jangan buat-buat lupa pula untuk tidak melakukan apa-apa tindakan.

“Kita tidak mahu ada `double standard’ terhadap krisis yang berlaku di Umno Bahagian Kedah. Kalau mereka (Lembaga Disiplin) boleh ambil tindakan segera kepada Ketua Cawangan jadi tidak mustahil untuk mereka turut ambil tindakan tatatertib segera kepada Ketua Bahagian terbabit,” ujarnya kepada Malaysia Dateline selepas penyerahan memorandum kepada Setiausaha Kerja Umno, Datuk Rauf Yusuf di Ibupejabat Umno petang tadi.

Katanya lagi, kenyataan secara terbuka oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ahmad Bashah  Mat Hanipah  semalam juga boleh ditafsirkan sebagai melanggar disiplin parti.

“GKCM berpandangan pemimpin-pemimpin Umno di Kedah digunakan sebagai alat untuk memberi tekanan kepada Mukhriz dan memaksa beliau untuk melepaskan jawatan sebagai MB dan ini adalah satu permainan politik yang sangat kotor dan menjijikkan apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Malah GKCM sekali mengulangi pendirian gabungan itu meminta Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan kerana tidak lagi mampu untuk mengekalkan keharmonian dan menerajui negara ekoran krisis terkini yang melanda Umno Kedah.

“Bagaimana seorang Perdana Menteri yang dirinya sendiri telah hilang kepercayaan rakyat Malaysia, supaya campur tangan dalam politik negeri Kedah yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang dihormati dan disegani oleh setiap lapisan masyarakat termasuk pembangkang, adalah sangat tidak masuk akal.

“Ketika rakyat mengharapkan pemimpin negara mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki ekonomi negara dan mengambil tindakan mengatasi masalah 1MDB dengan kadar segera, rakyat tidak sanggup menghadapi satu lagi masalah politik kerana ini jelas mencerminkan betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan Najib Razak sebagai Perdana Menteri.” katanya.

 

TAGS