Malaysia Dateline

Ketua Dewan Ulama Pas Selangor positif Covid-19

Selepas lebih 30 orang politik disahkan positif Covid-19, kini giliran Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Rizuan Rahmat pula dijangkiti pandemik tersebut.

Perkara itu disebutkan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

“Ya Allah, sembuhkanlah sahabat kami Ustaz Ridzuan Rahmat sekeluarga yang sedang menjalani rawatan Covid-19. Sejahterakan mereka dan permudahkan urusannya,” kata Mokhtar.

Semakan Malaysia Dateline di Facebook Rizuan mendapati Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Pas Selangor berkenaan ada memberitahu dirinya tidak sihat pada 13 Mei iaitu 1 Syawal lalu.

Katanya, dia tidak berselera untuk makan dan tiba-tiba teringin menjamah mi segera berperisa kari selepas berbulan-bulan tidak menikmatinya.

Oleh sebab itu, Rizuan yang difahamkan tinggal di Sijangkang, Kuala Langat meminta anaknya, Athirah menyediakan makanan itu dan kemudiannya mengakui kembali berselera.

“Makan maggi ni sekali sekala takpe, jangan selalu. Bahaya pada buah pinggang. Jom makan,” katanya sambil berkongsikan gambar sepinggan mi segera kari.

Hantaran di Facebook dengan tetapan umum itu dikesan sebagai yang terakhir daripada Rizuan setakat ini.