Ketua Hakim Negara baharu: Kerajaan masih menunggu keputusan Majlis Raja-Raja

Ketua Hakim Negara baharu: Kerajaan masih menunggu keputusan Majlis Raja-Raja

Kerajaan masih menunggu kelulusan daripada Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata terdapat peruntukan dalam soal pelantikan Ketua Hakim Negara di mana kerajaan mesti mengemukakan cadangan nama calon kepada Persidangan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Nampaknya ada peruntukan yang memerlukan pelantikan itu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dan bukan kepada Agong sahaja.

“Kami telah memaklumkan kepada Agong tetapi ada keperluan untuk memaklumkan kepada raja-raja juga, kini kita sedang menunggu kelulusan daripada mereka,” katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary pada Jumaat.

Dr Mahathir mengulas laporan semalam yang mendakwa beliau dan Raja-Raja Melayu kini sedang berhadapan kebuntuan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bersara baru-baru ini setelah berkhidmat selama 27 tahun dalam perkhidmatan kehakiman.

Malanjum, adalah yang pertama dari Sabah memegang jawatan tertinggi kehakiman itu dan telah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama sembilan bulan, dan 12 tahun sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.- BERNAMA