Malaysia Dateline

Ketua Hakim Negara ketuai rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan hari ini

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak dalam rayuannya mulai hari ini.

Anggota panel lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi membatalkan sabitan terhadap satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana penteri itu yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan sembilan hari mulai hari hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan Najib supaya dia dibebaskan dan mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas semua tuduhan ke atasnya.

Ekoran itu, Najib berkempen memburukkan Nazlan, namun menjelang sidang hari ini Najib menarik balik dakwaan ke atas Nazlan.