Malaysia Dateline

Ketua Menteri baharu Sabah bakal diketahui

Bakal Ketua Menteri Sabah yang baharu akan diketahui selepas pengumuman Tuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) gagal mencapai kata sepakat mengenai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Bung berkata beliau dan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Mohd Nor akan mengadap Yang di-Pertua Negeri bagi mendapat keputusan mengenai hal tersebut.

“Tunggu TYT putuskan,” kata Bung.

Ketika ditanya mengenai perasaannya, Bung berkata beliau, “sangat gembira.”

Tiga parti utama yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu PB, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh 38 kerusi DUN dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala BN (14) dan PBS menang tujuh kerusi yang ditandingi.

Susulan itu, pemimpin GRS awal hari ini bermesyuarat di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu.

Bung kemudiannya dilaporkan memasuki kawasan Istana Negeri di Kota Kinabalu pada 2.27 petang tadi diikuti kemudiannya Hajiji.

Mereka antara nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai calon ketua menteri.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam ciapannya di Twitter berkata, GRS pada masa ini memiliki 41 kerusi DUN.

Sehubungan itu, PN, BN dan sekutunya mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu hari ini.