Ketua Menteri Melaka, MB Selangor terima pangkat Brigadier Jeneral

Ketua Menteri Melaka, MB Selangor terima pangkat Brigadier Jeneral

Menteri Pertahanan hari ini menyempurnakan pemakaian pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataannya, berkata, pangkat tersebut diberikan kepada Amirudin selaku penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) bagi Negeri Selangor dan Adly yang juga merupakan penaung JAKPAW Negeri Melaka.

“Pelantikan Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Melaka sebagai Penaung JAKPAW di peringkat negeri telah diperkenankan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera Ke-575 berkuatkuasa pada 24 Mei 2019.
“JAKPAW merupakan suatu jawatankuasa yang ditubuhkan di setiap negeri untuk menggalakkan rakyat menyertai Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP),”katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; dan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Nawawi.

Tambah kenyataan itu, Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brig Jen (Kehormat).

Selain daripada itu, perjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri. Perlantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat (Kehormat).

“Kesemua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan perkenan Yang Dipertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.

“Perjawatan tauliah kehormat boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka,”ujarnya.