Malaysia Dateline

Ketua Menteri Sabah angkat sumpah esok, 29 Sept

Majlis angkat sumpah Ketua Menteri Sabah akan berlangsung pada Selasa (29 September) di Istana Negeri pada jam 10.30 pagi esok.

Perkara itu disahkan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Negeri Sabah dalam satu kenyataan media ringkas, selepas menerima maklumat daripada pihak Istana Negeri.

Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak mengumumkan siapa yang akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu.

Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu, selepas memenangi 38 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan tujuh kerusi.

Manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi, dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memenangi satu kerusi.