Malaysia Dateline

Ketua Parlimen DAP mohon maaf selepas ramai penyokong kecewa

Ketua Parlimen DAP, Loke Siew Fook mengakui ramai penyokong parti itu amat kecewa dengan keengganan Ahli Parlimen mereka untuk bangun meminta undi belah bahagi menolak Belanjawan 2021.

“Saya faham ramai ahli dan penyokong DAP merasa amat kecewa terhadap keputusan ini dan mengecam tindakan kita.

“Saya memohon maaf secara terbuka sekiranya saudara dan saudari merasakan keputusan ini adalah satu keputusan yang salah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau menegaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 hanya lulus di peringkat bacaan kedua atau di peringkat dasar.

Ujarnya, perbahasan akan masuk peringkat Jawatankuasa mulai Isnin depan iaitu perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahaskan secara terperinci dan diluluskan.

“Mulai Isnin depan, setiap hari ada peluang untuk undi belah bahagi dipanggil oleh sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen,” katanya.

Semalam, RUU Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar selepas hanya 13 Ahli Parlimen bangun untuk undian belah bahagi (en bloc).

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya menyelar tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan yang didirikan melalui rasuah dan sogokan sebagai “tanpa sedikit pun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.”

Mengulas sebab Ahli Parlimen pembangkang lain terutama DAP tidak menyokong undi belah bahagi, Siew Fook berkata, mereka tidak menolak keseluruhan Belanjawan 2021.

“Ada perkara yang kita boleh bersetuju dan sokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk barisan hadapan, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” jelasnya.

Walaupun begitu, katanya, banyak juga peruntukan yang mereka tolak seperti peruntukan RM85 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah serta pelbagai isu lain.

“Maka, kita akan membantah dan menolak peruntukan yang kita tidak setuju di peringkat jawatankuasa Kementerian masing-masing.

“Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut,” katanya.

Sentimen rakyat

Siew Fook atau dikenali sebagai Anthony yang merupakan Ahli Parlimen Seremban turut membayangkan jika semua Ahli Parlimen pembangkang bangun memohon undi belah bahagi dan menolak Belanjawan 2021.

“Apakah serangan pula daripada pihak Perikatan Nasional pada malam ini?

“Mereka akan tuduh Pakatan Harapan ingkar kepada nasihat Yang Di-Pertuan Agong, tidak mahu gaji kakitangan awam dibayar, tidak menyokong bantuan kepada golongan B40, menyekat elaun hidup untuk petani dan nelayan.

“Mereka akan memainkan sentimen rakyat dengan pelbagai tuduhan tersebut,” tegas bekas Menteri Pengangkutan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, dirinya sebagai Ketua Parlimen untuk blok Ahli Parlimen DAP mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusannya memberikan arahan kepada Ahli-ahli Parlimen DAP untuk tidak bangun meminta undi belah bahagi selepas mendapat mesej daripada pihak Ketua Pembangkang.

“Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin depan (30 November)… . The fight will go on,” tambahnya lagi.