Malaysia Dateline

Ketua parti dalam PN bertemu PM petang ini

Semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin petang ini.

Perjumpaan khas dengan Pengerusi PN itu bakal berlangsung di Pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 5 petang nanti.

Selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PN turut dianggotai Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

MCA dan MIC menyertai gabungan itu menerusi Barisan Nasional (BN) juga dijangka menghadiri pertemuan pada petang ini.

Sementara itu Umno sudah berpecah dengan sebahagian Ahli Parlimennya diketuai Timbalan Perdana, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong PN sehingga usul keabsahan dibentang di Parlimen, bulan depan.

Seramai 15 Ahli Parlimen Umno menolak Mahiaddin susulan keputusan parti itu menarik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan PN.

Pagi tadi, Mahiaddin dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Setakat hari ini, 100 Ahli Parlimen menyokong Mahiaddin manakala 120 menolak, seperti disahkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sebentar tadi.

“Majoriti mudah adalah 111 dari 220 Ahli Parlimen.

“Dengan penolakan kesemua Ahli Parlimen Pembangkang serta sejumlah Ahli Parlimen Umno, maka Tan Sri Mahiaddin telah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kini berkuat kuasa,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.