Ketua Pembangkang Dun P. Pinang dilantik Pengerusi PAC yang baharu

Muhamad Yusoff (kiri) bersama dua lagi Adun pembangkang semasa sidang Dun Pulau Pinang yang berakhir semalam.

Muhamad Yusoff Mohd Noor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua yang juga merupakan Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Pulau Pinang yang baharu.

Jawatankuasa tersebut turut diwakili oleh Adun tunggal Pas, Mohd Yusni Mat Piah serta Adun AMANAH yang mewakili Dun Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Selain itu Adun Telok Bahang yang mewakili Bersatu juga turut dipilih bagi menganggotai jawatankuasa tersebut.

Pengumuman yang dibuat oleh Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang turut menamakan Adun Pulau Tikus, Lee Chun Kit, Adun Bagan Dalam, M.Satees dan Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid sebagai jawatankuasa yang telah dilantik.

Sementara itu Adun Machang Bubuk yang mewakili PKR, Lee Khai Loon, Adun Penanti, Dr Noorlela Ariffin serta Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung juga diberi kepercayaan bagi menganggotai PAC kali ini.

“Usul ini telah dicadangkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan disokong oleh Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin serta diluluskan sebulat suara.

“Jawatankuasa PAC seramai 10 wakil rakyat ini telah diberi kuasa untuk memanggil mana-mana orang untuk hadir di hadapan dan mendapatkan dokumen.

“Mereka juga dikehendaki untuk melaporkan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) dari semasa ke semasa,” kata Law lagi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menyatakan kerajaan negeri telah berjaya melaksanakan kebanyakan manifesto PRU14 yang terdiri daripada 12 teras utama.

Malah katanya, bagi manifesto yang melibatkan bidang kuasa kerajaan persekutuan, perbincangan akan diteruskan bagi mencari solusi untuk merealisasikan pelaksanaannya.

CATEGORIES