Malaysia Dateline

Ketua Pembangkang kemuka usul hilang kepercayaan pada PM

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Mahiaddin perlu dimakzulkan (dipecat) daripada jawatan Perdana Menteri secepat mungkin.

Usul yang disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat itu dikemukakan susulan teguran Istana Negara terhadap kerajaan dalam isu pembatalan Ordinan Darurat yang belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan mengadakan sebarang undian kerana tahu mereka telah hilang kepercayaan Ahli-Ahli Parlimen.

“Setelah titah diraja sesekali pun, mereka (kerajaan PN) ingkar dan mencari helah. Kita tidak boleh tunggu lagi.

“Parlimen sudah bersidang. Kita sudah menyatakan pandangan,” katanya sebelum terganggu seketika kerana pengumuman meminta Ahli Parlimen melakukan ujian saringan Covid-19.

Mengulas ujian yang wajib dilakukan petang ini oleh semua Ahli Parlimen dan petugas di Dewan Rakyat itu, Anwar berkata, hal itu boleh dilakukan tanpa perlu menangguhkan sidang Dewan Rakyat.

“Kita boleh melakukan saringan tanpa mempersulit perjalanan Parlimen.

“Majoriti Ahli Parlimen telah menganggap Tan Sri Mahiaddin telah makzul, dipecat, gugur jawatannya sebagai Perdana Menteri,” tegas Anwar lagi.

Anwar dan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) pada sidang media di lobi Parlimen susulan penangguhan Dewan Rakyat.