Malaysia Dateline

Ketua Pembangkang memang jadi PM kalau kerajaan bertukar

PENGGERAK Komuniti Negara (PKN), kumpulan yang dipercayai ada kaitan dengan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Oktober lalu mengenai sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau. PKN mendakwa, pengumuman Anwar itu berbau hasutan.

Oleh kerana berkiblatkan Azmin, maka usah ditanya di mana PKN ketika mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu melakukan ‘Langkah Sheraton’, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Azmin dan Tan Sri Muhyiddin berkolaborasi diam-diam ‘menumbangkan’ Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Muhyiddin dijadikan Perdana Menteri (PM), dengan Azmin bersabar dahulu – dilantik sebagai antara Menteri Kanan, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Setelah dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, beliau menyertai PPBM.

Justeru, kini PKN sibuk bersuara meminta pihak berkuasa menghentikan ‘kegilaan’ Datuk Seri Anwar mahu menjadi PM? Jika Covid-19 dijadikan alasan, semasa Azmin dan Muhyiddin mahu merampas kuasa itu juga negara sedang sibuk mengatasi ancaman wabak tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan lain-lain ketika itu sedang merangka strategi memerangi Covid-19 bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Walau bagaimanapun, sewaktu kes mereda dan harapan berbunga untuk bebas Covis-19, keadaan negara tidak stabil. Kerajaan PH tumbang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terumbang-ambing. Datuk Seri Dzulkefly bukan lagi menteri untuk mempimpin KKM menangani kes Covid-19 dengan sewajarnya.

Kenapa mengatakan Anwar gila mahu menjadi PM? Beliau Ketua Pembangkang, bukan ketua penyamun. Jika PH berkuasa semula, tentulah Anwar menjadi PM. Apa yang gilanya?

Adakah mengkhianati rakan-rakan PH oleh Azmin dan Muhyiddin itu yang siuman, dan halal? Usahlah terlalu menonjolkan diri sebagai pengampu Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Siapa yang sebenarnya gila mahu menjadi PM?

Muhyiddin dikatakan tidak dapat bersabar lagi. Beliau enggan menunggu lebih lama kerana bimbang penyokongnya dipenjarakan jika PH terus memerintah. Beliau akan susah kalau mereka sudah ‘di dalam’.

Apa masalahnya kalau Anwar mahu menjadi PM? Adakah semasa Anwar PM, semua pegawai kerajaan tiada gaji? Sekolah dan pusat kesihatan ditutup? Sukan dihapuskan? Pasar ditutup? Rakyat tidak boleh berkeluarga?

Kalau Anwar kemaruk dan gila menjadi PM, beliau telah ‘memancung’ Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus membelakangi perjanjian dalam PH, iaitu memberi jalan kepada Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi PM selama dua tahun. Dikhabarkan Anwar akan menemui Yang di-Pertuan Agong minggu ini. Adakah kerana senarai 121 ahli Parlimen itu?

Kesabaran Anwar sudah terbukti tahap tinggi atau kata beliau sendiri, tahap dewa. Bayangkan sejak 1998 hingga kini, dan dua kali beliau mendekam di penjara. Azmin dan Muhyiddin pernah menghuni penjara? Bermalam di lokap Polis Diraja Malaysia pun tidak pernah.

Dari segi mana menghasutnya pengumuman Anwar itu? Azmin mengadakan ‘Langkah Sheraton’ bukan menghasut? Jika menghasut itu jenayah, mengkhianati rakan-rakan dan bergabung dengan musuh bukan jenayah? Menjatuhkan kerajaan sendiri tidak salah?

Mengumumkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen itu menghasut? Jika pemimpin PN mengatakan Anwar menjadi PM bukan kerana pilihan rakyat, Muhyiddin yang sebenarnya bukan pilihan rakyat. Muhyiddin sendiri menyedari perkara itu (tetapi, terus menjadi PM).

Silap kalau mengatakan Anwar gila jawatan dan kuasa kerana beliau mengetuai PH yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei 2018.

Anwar dihalang antaranya kerana beliau dikatakan bersikap sama rata terhadap semua kaum. Beliau tidak mengira bangsa untuk disantuni. Adakah itu kesalahan jenayah hingga amat wajar disekat?

PKN perlu sedar rakyat Malaysia bukan orang Melayu sahaja. Nama pun Malaysia – sudah 57 tahun! Bukan Tanah Melayu lagi.

Kalau itu yang dijadikan alasan, ternyata PKN rasis. Menyedihkan kerana ketika pembinaan Malaysia Baharu, masih ada pihak yang masih berfahaman lama, dan perkauman – apatah lagi ada hubungan dengan Menteri Kanan Kerajaan PN.

Usah membangkitkan rasis dan mengatakan negara ini hanya untuk orang Melayu. Terimalah takdir yang ‘diusahakan’ oleh pentadbir negara masa lalu menerusi jus soli.

Akibat ‘hak untuk kawasan’/kewarganegaraan hak lahir itu, rakyat keturunan China (sekarang ejaannya Cina) dan India yang lahir di Tanah Melayu menjadi warganegara. Bukan sahaja menjadi rakyat, malah boleh mengundi dalam pilihan raya dan menjadi wakil rakyat!