Ketua pembangkang turut dilantik ahli majlis pengangkutan negeri Pualu Pinang

Ketua pembangkang turut dilantik ahli majlis pengangkutan negeri Pualu Pinang

Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang hari ini melantik 24 anggota baharu termasuk Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid dan wakil Badan Bukan kerajaan (NGO) menganggotai Majlis Pengangkutan Negeri (MPN).

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membuat pengumuman itu berkata majlis itu berperanan untuk mendapat nasihat dan pandangan daripada semua pihak termasuk NGO, wakil pembangkang dan pengkritik berkaitan pelaksanaan sistem pengangkutan awam dan lalu lintas di negeri ini.

“Majlis ini akan melaporkan kepada kerajaan negeri berkaitan sebarang perkembangan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dari semasa ke semasa sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Selain Jahara, antara wakil rakyat pembangkang yang dilantik dalam Majlis itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan ADUN Bayan Lepas Nordin Ahmad, manakala wakil NGO yang dilantik ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang S.M Mohamed Idris dan Ahli Jawatankuasa Aliran Anil Netto.

Lim berkata pihak pembangkang pada persidangan DUN lepas menyatakan pendirian bersedia menyokong PIP dengan syarat mesti mendapat kelulusan Kajian Penilaian Alam Sekitar Terperinci dan dipantau oleh MPN.

Lim berkata secara keseluruhan MPN akan dianggotai 46 orang ahli termasuk daripada wakil kerajaan, NGO, wakil pembangkang dan pengkritik.

“Lantikan ini berkuat kuasa serta merta dan akan tamat pada 30 Sept tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata semua dokumen “permintaan bagi cadangan” untuk PIP akan dikemukakan kepada semua ahli MPN.

“Mereka akan dapat meneliti dokumen itu supaya mereka boleh mengemukakan pandangan dan input mereka dalam mesyuarat MKN,” katanya.

MKN diwujudkan pada tahun 2009 dengan 20 keanggotaan termasuk pakar pengangkutan serta wakil NGO dan ini merupakan kali pertama wakil pembangkang dilantik dalam majlis itu.

TAGS