Malaysia Dateline

Ketua Pemuda AMANAH Sabah optimis Warisan menang di Kimanis esok

Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Rendy Ismail optimis Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, esok.

“Saya positif tentang kemenangan Warisan kerana mengikut pemerhatian di peringkat jentera, penduduk dan responden memang cenderung ke arah parti Warisan itu sendiri.

“Malah, ada beberapa markas Umno yang jenteranya itu sebenarnya ahli Warisan. Mereka cuma masuk ke dalam markas Umno untuk mendapatkan ‘job’, tetapi tetap mengundi Warisan.

“Itu menunjukkan Umno kekurangan jentera tempatan pada PRK Kimanis ini. Yang kedua, pengundi Muslim di sini cenderung kepada calon Warisan dan juga kerajaan,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian yang dijalankan oleh badan pemikir, Ilham Centre.

Ilham Centre meramalkan parti Warisan akan menang selesa, sekali gus meranapkan status kubu kuat yang dipegang parti Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kimanis itu.

Ditanya apakah isu utama yang diketengahkan oleh parti pembangkang, Rendy berkata mereka memainkan isu berkaitan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Tetapi sebenarnya, isu itu (PSS) cuma terkesan kepada pengundi-pengundi Kadazandusun Murut (KDM), tapi bukan semua KDM menerima propaganda tersebut.

“Ini kerana ramai pemimpin-pemimpin yang mewakili parti kerajaan dan mewakili kaum KDM seperti Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan parti Warisan menjawab isu itu (mewakili kaum KDM) dan kaum KDM menerima penjelasan mereka dengan baik,” jelasnya lagi.

Sekiranya calon Warisan memenangi PRK Kimanis esok, Rendy berkata, bilangan suara Ahli Parlimen dari Sabah akan meningkat di Dewan Rakyat nanti.

“Seterusnya kemenangan itu dilihat akan memberi kelebihan kepada penduduk Kimanis apabila wakil rakyat mereka adalah dari pihak kerajaan,” ujarnya lagi.