Malaysia Dateline

Ketua Pemuda AMANAH seru masjid diurus tangani unsur politik

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengingatkan pentingnya masjid di seluruh negara diurus secara berkesan bagi mengelak dicemari politik kepartian.

Menurut Adun Titi Serong itu, pengurusan masjid penting memandangkan AMANAH tidak harus lari daripada naratif Melayu dan Islam.

“Di Perak, kita berjaya menangani isu salah guna masjid dan surau. Perak berjaya menguruskan masjid dan surau daripada diganggu unsur-unsur politik.

“Saya berharap juga di Selangor hal sama dilakukan. Penasihat Umum (Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang) pun masih gagal mengajar di beberapa masjid,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Hasnul yang juga Exco Penerangan Negeri Perak memberitahu pihaknya masih lagi gagal bertemu secara rasmi dengan Menteri Komunikasi.

“Insyalah pada Januari nanti ada pertemuan Exco Penerangan negeri dengan menteri.

“Kita berharap pertemuan ini akan dapat mencapai usaha untuk membawa gagasan Rahmatan Lil Alamin di negara ini,” ujarnya lagi.