Malaysia Dateline

Ketua Pemuda DAP Johor persoal adakah Muhyiddin mahu beli sokongan guna wang

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan sama ada ordinan baru yang membolehkan kerajaan menggunakan dana tanpa kelulusan Parlimen itu sebenarnya bermotifkan politik.

Beliau bertanya, adakah kerajaan sebenarnya mahu menggunakan wang tambahan untuk membeli lebih banyak sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya, sehingga hari ini tiada sebarang penerangan diberikan kepada rakyat terutama tentang signifikan pindaan yang dilakukan.

“Tindakan kerajaan PN yang seakan-akan mengabaikan nasihat Agong agar Parlimen dibolehkan bersidang pada masa darurat ini seolah-olah ada udang disebalik batu.

“Tanpa persidangan Parlimen dan Dun, tiada semak dan imbang dalam setiap keputusan serta tindakan kerajaan termasuklah dalam soal pindaan Ordinan Darurat berkaitan tambahan perbelanjaan ini.

“Adakah penambahan perbelanjaan ini bertujuan membeli sokongan kepada PN di pelbagai peringkat menggunakan wang? Adakah PN akan kembalikan budaya ‘cash is king’?,” soalnya.

Pada masa sama Sheikh Umar berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan kerana segala perbelanjaan kerajaan adalah melibatkan wang rakyat.

Menurutnya, tindakan meminda ordinan darurat hujung Mac lalu hanyalah menggambarkan satu lagi situasi bagaimana demokrasi negara semakin hilang fungsinya.