Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Itnin dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hari ini.
Ia dipercayai berhubung memorandum bantahan yang diserahkan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 21 Mei lalu bagi membantah sokongan republik itu terhadap Israel dan kekejaman terhadap Palestin.
Menerusi ciapan di Twitternya, Shazni berkata beliau akan hadir memberi keterangan pada jam 2.30 petang nanti.
“Saya dihubungi oleh IPD Wangsa Maju untuk diambil keterangan berhubung memorandum bantahan ke Kedutaan AS ketika serangan Zionis Israel kepada Palestin tempoh hari.
“Justeru saya akan hadir pada hari ini (Jumaat), jam 2.30pm untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” tulisnya.
Pada Mei lalu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) dilaporkan mengadakan himpunan bantahan berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin yang akhirnya bertukar kepada protes di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Protes dilakukan susulan daripada sokongan yang disuarakan oleh Presiden AS, Joe Biden terhadap zionis Israel.
Media melaporkan, peserta himpunan ketika itu berada di hadapan kedutaan terbabit sekitar 20 minit bagi melepaskan geram terhadap isu berkenaan.